Pemilihan DAP Penuh Penyelewengan Dan Salah Guna Kuasa

Akhbar China Press bertarikh 5 November 2015 menyiarkan artikel mengenai keputusan pemilihan DAP Selangor 2015 pada 1 November lalu yang menyaksikan 15 orang dipilih.

Artikel bertajuk ‘Penyelewengan rompak masa depan DAP’ yang ditu­lis oleh Lim Fang disiarkan dalam ruangan Kedai Kopi Orang Ramai halaman C13.
—-
Dalam pemilihan DAP negeri kali ini, seramai 15 ahli jawatankuasa (AJK) pusat bernasib baik dapat mengekalkan jawatan mereka. Pada pemilihan akan datang adakah mereka masih bernasib baik lagi, mereka hanya boleh berdoa.

Walaupun nama Tony Pua itu begitu hebat setinggi langit, tetapi dalam pemilihan berkenaan, beliau hanya berada pada kedudukan kelapan, berbanding orang yang tiada nama yang mendapat sokongan tertinggi sebanyak 736 undi.

Walaupun orang seperti itu mendapat undi terbanyak, beliau tidak mampu menjadi Pengerusi DAP Selangor, sebaliknya Tony Pua yang mendapat hanya 495 undi dalam pemilihan berkenaan dilantik sebagai pengerusi.

Ini jelas menunjukkan DAP hanya dikawal oleh segelintir orang yang mempersendakan kuasa perwakilan untuk memilih calon yang mereka rasakan paling layak. Undi paling banyak diterima ketika pemilihan bukanlah faktor yang membolehkan seseorang itu dilantik menjawat jawatan tertinggi peringkat negeri.

DAP sebelum ini pernah mengejek Barisan Nasional (BN) kerana memerintah Kerajaan Pusat dengan sokongan undi daripada 48 peratus rakyat sahaja. Kini perkara sama berlaku apabila individu yang mendapat sokongan antara 30 hingga 40 peratus perwakilan pada pemilihan dilantik menjawat jawatan tertinggi parti di Selangor.

Mereka ini menjadi pemimpin yang tidak tahu malu apabila menerima pelantikan ber­kenaan.

Perkara sama berlaku di peringkat DAP kebangsaan apabila individu yang telah melanggar disiplin parti, melakukan salah guna kuasa dan rasuah dengan mudah dapat masuk ke dalam kumpulan ke­pimpinan pusat.

Dalam pada itu, ada pula sesete­ngah pemimpin DAP dianiaya dan dibuang daripada parti tanpa bukti-bukti kesalahan yang kukuh seperti bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai, Jenice Lee.

DAP suka menggunakan budaya ‘merompak’ dan ‘merampas’. Ada sesetengah pemimpin generasi baru yang berprestasi bagus apabila kelihatan mengancam pucuk ke­pimpinan, mereka akan dihambat.

Hanya mereka yang tunduk patuh kepada pucuk pimpinan tidak akan diburu. Sehingga ke hari ini, dalam DAP ada beberapa orang sahaja yang berkuasa. Selepas DAP mula berkuasa pada 2008, konsep dan hala tuju sebenar parti itu telah berantakan kerana pemimpin terbabit hanya mengejar kepentingan sendiri.

Usaha untuk menjadikan DAP parti berbilang kaum juga telah menempuh jalan sempit setelah tiga wakil Melayu yang bertanding dalam pemilihan peringkat Sela­ngor baru-baru ini tewas. Mereka ini tiada tapak untuk berdiri dan menerajui DAP.

Tony Pua telah melantik tiga wakil Melayu dalam kepimpinan DAP Selangor yang baharu sebagai ganti. Adakah mereka mampu menjadi batu loncatan kepada pe­nerokaan untuk DAP menjadi sebuah parti pelbagai kaum, itu masih lagi menjadi tanda-tanya.

Walaupun DAP semakin menjadi kesayangan orang Cina, penyelewengan dan salah guna melibatkan pemimpin parti itu akan terus menjadi-jadi terutama apabila mereka mendapat lebih banyak kuasa pemerintahan pada masa depan.