Potongan RM20 Sebulan Tidak Bermakna Boleh Serang YaPIEM Membabi Buta

Tujuan Yapiem mengadakan program sumbangan termasuk melalui Skim Potongan Gaji Bulanan ialah untuk memberi peluang kepada masyarakat Islam di negara ini turut membuat kebajikan dan mendapat pahala melalui skim-skim yang sumbangan yang diperkenalkan bukannya kerana Yapiem tiada wang.

Hakikatnya, Yapiem sebagai pengusaha pajak gadai Islam terbesar di negara ini merupakan ancaman kepada sistem konvensional dan anda sendiri pasti tahu siapa yang terancam dengan perkembangan ini.

Umat Islam di negara ini merupakan kumpulan manusia yang cepat melenting dan mudah percaya fitnah biar pun Allah beberapa kali berfirman dalam al-Quran mengingatkan dosa fitnah dan bercakap keburukan orang lain.

Hanya kerana membuat potongan gaji RM20 sebulan untuk Yapiem mereka beranggapan sudah berhak mengherdik dan memaki pengurusan Yapiem tanpa membuat penyelidikan dahulu.

Sungguhpun perlantikan Lembaga Pengarah Yapiem dibuat oleh kerajaan, namun mereka beroperasi seperti organisasi perniagaan dan kebajikan biasa yang membuat keputusan berasaskan perniagaan.

Yapiem ialah yayasan berasaskan perniagaan dan kebajikan. Ia bukan pengurus dana kerajaan untuk kebajikan. Pembayaran elaun dan program Yapiem dibuat secara bebas berasaskan keuntungan perniagaan mereka.

Apa salah jika anak seorang Timbalan Presiden atau Timbalan Pengerusi Yapiem juga turut bekerja di Yapiem jika beliau membantu mengembangkan perniagaan Yapiem? Lainlah jika beliau tiada kelayakan atau mendapat kontrak secara tidak betul.

Sumbangan orang ramai pada Yapiem hanya digunakan untuk program bantuan kebajikan. Pengurusan dan pentadbiran diuruskan menggunakan hasil perniagaan mereka.

Adakah kita mengharap sebuah Yayasan yang mempunyai perniagaan yang bernilai ratusan juta ringgit membayar elaun seperti seorang pengurus pasaraya?

Rafizi sendiri yang hanya beberapa tahun bekerja dengan Petronas sudah mempunyai wang jutaan ringgit dan sekarang hidup melebihi gaji beliau sebagai Ahli Parlimen.

Serangan terbuka ke atas institusi Islam membabitkan tuduhan salah guna wang dan ke arah korupsi bertujuan memalukan institusi Islam yang banyak membantu umat Islam ini.

Jika benar mereka percaya ada kesalahan berlaku, buatlah laporan kepada Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bukannya membuat sidang akhbar berunsur pertanyaan supaya mereka bebas memburukkan orang tetapi terlepas dari tindakan undang-undang.