Rafizi Patut Ganti Tony Pua Dalam PAC Supaya Tony Bebas Berdebat Siapa Sahaja

Presiden 1MDB, Arul Kanda Kandasamy baru sahaja mengeluarkan kenyataan akhbar INTEGRITI PAC MESTI DIHORMATI, yang secara asasnya menyifatkan Tony Pua sebagai pengecut dan penipu yang telah melontarkan cabaran walaupun mengetahui, sebagai ahli PAC, beliau tidak akan boleh berbuat demikian.

Arul Kanda juga berkata Tony Pua berselindung di sebalik keanggotaan PAC beliau untuk mencari jalan keluar debat tersebut, yang mungkin telah mengejutkan beliau apabila melihat Arul Kanda menerima cabaran tersebut tanpa syarat. Malah, individu seperti Rafizi Ramli menyifatkan ia sebagai misi bunuh diri kerana Arul Kanda (juara debat) pasti akan membelasah Tony Pua secukupnya.

Pakatan Harapan pula mencadangkan, untuk melindungi kedudukan Tony Pua di dalam PAC, Rafizi Ramli akan menggantikan Tony di dalam debat tersebut. Walaubagaimanapun, ianya adalah Tony dan bukannya Pakatan Harapan yang telah mencabar Arul Kanda untuk berdebat jadi mengapa sekarang Arul Kanda diminta untuk berdebat dengan proksi Pakatan, Rafizi Ramli pula?

Arul Kanda mencadangkan yang Rafizi Ramli yang sepatutnya menggantikan Tony Pua di dalam PAC supaya Tony bebas berdebat dengan beliau. Jika Rafizi cukup bagus untuk menggantikan Tony di dalam debat itu, maka beliau pun cukup bagus untuk menggantikan Tony di dalam PAC.

Sebenarnya, Arul Kanda tiada masalah untuk berdepan dengan Rafizi kerana ketika zaman muda mereka, mereka pernah berdebat antara satu sama lain. Dan Arul Kanda memandang tinggi Rafizi. Isunya disini adalah, ianya Tony Pua yang melontarkan cabaran, bukannya Rafizi atau Pakatan Harapan.

Arul Kanda masih ingin berdebat dengan Tony Pua dan tidak akan mengelak tetapi Speaker Parlimen mesti membenarkan beliau berbuat demikian dan tidak melucutkan kelayakan beliau sebagai saksi di dalam siasatan PAC. Sebagaimana Tony mempunyai hak untuk menyoal 1MDB di dalam siasatan PAC, Arul Kanda juga percaya beliau mempunyai hak untuk mempertahankan 1MDB di dalam siasatan kes itu.

Pendek kata, Arul mahu berdebat dengan Tony Pua dan masih mahu kekal sebagai saksi di dalam siasatan PAC dan berharap Speaker akan membenarkannya.

Dan berkenaan dengan 10 soalan yang ditulis oleh Tony Pua di dalam blognya, Arul Kanda berkata beliau akan menjawab kesemua soalan itu, sama ada di dalam debat, jika dibenarkan Speaker, atau di dalam sesi pendengaran kes PAC.

Anda telah mengetahuinya. Arul Kanda sememangnya bersedia untuk berdebat dengan Tony Pua dan telah mencadangkan cara-cara bagaimana ia boleh dilakukan. Jadi Tony Pua masih boleh berdebat dengan Arul Kanda, dan dari meminta Rafizi menggantikan beliau untuk berdebat, lebih baik Rafizi menggantikan beliau di dalam PAC.

Oleh Raja Petra Kamarudin,
http://www.malaysia-today.net/arul-kanda-calls-tony-pua-a-coward-and-a-liar/