RM4 bilion Wang KWAP Tidak Lesap, Pinjaman Tersebut Telah Terang-Terang Diaudit

KENYATAAN AKHBAR SRC INTERNATIONAL

1. Merujuk kenyataan kami yang bertarikh 21 Oktober 2015, SRC International ingin menekankan yang keseluruhan RM4 bilion yang kami perolehi sebagai pinjaman dari KWAP dengan syarat-syarat piawai komersial, telah dicatatkan sepenuhnya dalam penyata kewangan kami, selari dengan piawai amalan perakaunan dan pentadbiran. Kami berasa kesal apabila MalaysiaKini dan Sarawak Report telah menyiarkan berita yang tidak benar yang berniat jahat, iaitu ingin menimbulkan persepsi yang dana ini telah disalahgunakan.

2. SRC memandang tinggi SPRM. Walaubagaimanapun, kami bimbang dengan perkembangan yang terjadi baru-baru ini iaitu kebocoran dokumen dan maklumat serta kemungkinan penjualan maklumat sulit kepada pengamal media dan ahli politik yang tidak bertanggungjawab dan mementingkan diri sendiri. Ini kelihatan sebagai sebahagian dari kempen untuk merencatkan syarikat berkaitan kerajaan, dan kerajaan sendiri. Kami sedar, di dalam mana-mana organisasi, orang ramai pasti akan mempunyai pendapat peribadi yang kukuh atau pun kecenderungan politik. Walaubagaimanapun, ini tidak boleh dibiarkan menjejaskan tanggungjawab mereka ketika menjalankan tugasan rasmi.

3. Kepentingan perniagaan kami telah menghadapi impak yang negatif disebabkan kebocoran itu, dan sebagai sebuah syarikat yang memfokuskan penjanaan nilai, kami tidak mahu menjadi mangsa atau pun kambing hitam di dalam kempen yang bermotifkan politik ini.

4. Sebagaimana syarikat lain, SRC mempunyai tanggungjawab untuk melindungi kepentingannya, yang termasuklah memelihara maklumat perniagaan yang sulit. Kami, dengan ini, ingin memohon Peguam Negara untuk memulakan siasatan bebas untuk mengenalpasti mereka yang bertanggungjawab terhadap kebocoran atau kemungkinan penjualan maklumat sulit, yang melibatkan agenda bermotifkan politik dan/atau pegawai yang korup.

5. Kami berharap ini akan membantu mengenalpasti dan menjelaskan sebarang potensi konflik kepentingan yang mungkin akan berlaku. Apabila siasatan oleh Peguam Negara ini selesai kelak, kami akan bekerjasama sepenuhnya dengan SPRM atau pihak berkuasa lain jika terdapat sebarang persoalan atau pertanyaan lanjut.

Unit Media SRC International
http://www.malaysia-today.net/press-statement-by-src-international/