Sesiapa Yang Tidak Menyokong Usul DAP Maka Dia Dianggap Sekutu UMNO

Usul Barisan Nasional berkenaan penambakan laut di Pulau Pinang di dalam sidang DUN Pulau Pinang Jumaat lalu telah membuka satu rahsia besar yang disembunyikan Kerajaan Pakatan Pulau Pinang.

Usul itu ditolak oleh sidang DUN yang dikuasai Adun DAP dengan undian 23 berbalas 10 tetapi ianya meninggalkan kesan kepada Ketua Menteri dan Setiausaha Agung DAP.

Retak di dalam Kerajaan Pulau Pinang semakin kelihatan.

Usul tersebut disokong oleh salah seorang Adun DAP, Adun Tanjung Bungah Teh Yee Cheu. Walaupun kemudiannya beliau memohon maaf atas ‘kesilapan politiknya’, kerosakan telah pun berlaku.

Apa yang paling mengecewakan Lim Guan Eng adalah 5 orang Adun PKR telah mengambil keputusan untuk tidak mengundi. Dari 10 orang Adun PKR, hanya 5, yang memegang portfolio exco negeri, mengundi menolak usul terbabit.

Lim berkata, kedegilan yang ditunjukkan oleh 5 Adun PKR itu memberikan anggapan yang mereka menyokong UMNO.

Dalam erti kata lain, mereka yang tidak menyokong DAP adalah bersama UMNO.

Tuduhan itu telah menaikkan kemarahan Angkatan Muda Keadilan Pulau Pinang. AMK telah menuntut Lim menarik balik kenyataan itu dan memohon maaf secara terbuka kepada 5 orang Adun PKR itu. Mereka mengingatkan Lim yang Adun PKR telah menyokong dan bersama beliau sejak tahun 2008.

Usul BN tersebut adalah berkenaan dengan penambakan laut yang menimbulkan kontroversi, yang membabitkan kawasan seluas 2,600 hektar. AMK Pulau Pinang berkata, Adun PKR memilih untuk tidak mengundi kerana suara hati mereka tidak menyokong projek itu.

“Ini menunjukkan mereka tidak mahu menjadi boneka kerajaan negeri,” ujar AMK di dalam satu kenyataan akhbar.

Lim sepatutnya menyelesaikan masalah di dalam pakatan pembangkang dan berhenti menggunakan kenyataan politik yang sesiapa tidak bersetuju dengan beliau ‘bekerja untuk UMNO’

Beliau patut menyedari 16 dari 40 Adun, termasuk Adun Pinang Tunggal Rosli Saidin, yang tidak hadir ketika sesi debat dan undi usul tersebut, telah menyuarakan bantahan mereka mereka kepada kerajaan berkenaan projek terbabit.

Mereka adalah 16 orang wakil rakyat yang dipilih. Pendirian teguh mereka di dalam isu ini wajar dihormati.

Kerajaan DAP sudah sepatutnya berhenti mempercayai yang kesemua projek pembangunan mereka diterima baik. Ia mesti menghormati pandangan rakyat Pulau Pinang dan menangguhkan segala projek tambakan selagi ia masih belum mendengar pandangan rakyat.

Pemerhati menyatakan yang DAP semakin lama semakin cuba untuk menutup kelemahan mereka dengan menyalahkan UMNO. Mereka berkata ianya sebahagian dari taktik politik untuk memenangi hati penduduk bukan Melayu.

Oleh Mata Kuching,
http://www.freemalaysiatoday.com/category/highlight/2015/11/24/cracks-in-penang-pakatans-armour/