Sikap Zalim DAP Pulau PInang Tidak Akan Menjejaskan PAS

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang diminta tidak berbohong kepada rakyat, kononnya 300 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) daripada kalangan ahli dan pemimpin PAS dipecat sepanjang bulan lalu.

Ketua Penerangan PAS Pulau Pinang, Mohd Yusni Mat Piah berkata, jumlah itu tidak tepat, kerana ramai daripada mereka yang tidak menerima surat pemecatan kerajaan negeri.

Menurutnya, jika tidak diserahkan surat pemecatan, mengapakah kerajaan negeri dilihat sanggup berbohong mengenai semua 300 JKKK itu telah dipecat dan seakan-akan ‘segan silu’ menafikan tindakan meletak jawatan oleh JKKK daripada kalangan ahli dan pemimpin PAS.

“Kenapa hanya 300 JKKK dimaklumkan sebagai dipecat, sedangkan rekod sebenar menunjukkan 1,083 ahli PAS negeri yang berkhidmat dan terlibat dengan JKKK. Kenapa 783 orang lagi dibiarkan?

“Adakah disembunyikan kuota PKR dan DAP, manakala di sesetengah tempat, semua JKKK itu adalah ahli-ahli PAS, sama ada Pengerusi, Setiausaha dan seluruh ahli jawatankuasanya.

“Andai kata kerajaan negeri tiada rekod terperinci, maka saya bersedia mendedahkannya nanti,” katanya dalam satu kenyataan sini hari ini.

Tambah Mohd Yusni, PAS Pulau Pinang tetap berfungsi seperti sedia kala untuk menyumbang khidmat bakti kepada rakyat, sepertimana parti itu berfungsi sebelum berjaya merampas Pulau Pinang daripada Kerajaan Umno-BN.

Jelasnya, walaupun 300 JKKK daripada kalangan ahli PAS kononnya dipecat, tetapi PAS Pulau Pinang tidak akan jatuh lemah dengan tindakan zalim Kerajaan PH Pulau Pinang terhadap parti itu.

“Tindakan itu susulan pemberhentian bantuan kewangan secara tiba-tiba kepada Sekolah Rendah Islam Al-Ansor (SRIA) dan Sekolah Rendah Islam Bahrul Ulum (SRIBU), selepas pengumuman penubuhan Kerajaan PH oleh Ketua Menteri, bahkan sebelumnya ada Ahli Majlis PBT (pihak berkuasa tempatan) daripada kalangan ahli PAS dipecat atau diberhentikan.

“Seteruk-teruk PAS dizalimi Kerajaan Umno-BN, ketika ditendang keluar daripada Kerajaan Campuran 1973-74, PAS tetap berupaya bangkit semula membina kekuatan sehingga keahlian PAS mencecah hampir 1.4 juta orang pada hari ini di seluruh negara.

“Begitu juga kepada PAS di Pulau Pinang, sikap zalim DAP dan kerajaan negeri tidak akan sedikitpun melemahkan PAS, malah PAS akan lebih komited bekerja untuk rakyat di negeri ini kerana Allah dan berharap Kerajaan Negeri Pulau Pinang lebih telus, lebih berintegriti dalam urusan tadbir mereka,” tegasnya.

Semalam, Ketua Menteri, Lim Guan Eng dilaporkan sebagai berkata, ahli PAS di Kepala Batas tidak meletak jawatan seperti yang didakwa, sebaliknya mereka dipecat.

Menurut Lim, pemecatan itu turut membabitkan ahli PAS dari Seberang Prai Tengah, Utara dan Selatan.

Jelasnya, Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak memerlukan perkhidmatan ahli PAS yang tidak menyokong PH dan surat penamatan perkhidmatan mereka telah diserahkan kepada penyokong tegar yang enggan menyokong PH, pada 15 Oktober lalu.

Sumber:http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/11/19/kerajaan-pulau-pinang-bohong/