Sokongan Halus PKR Untuk Jacel Kiram Jadi Senator

Pertemuan Nurul Izzah Anwar dengan ‘Puteri’ Jacel Kiram di Filipina boleh dianggap sebagai ‘sokongan halus’ untuk kempen Jacel menjadi senator, demikian ujar bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Yong Teck Lee.

Yong, dalam kenyataanya untuk The Star pada Jumaat, berkata pertemuan seperti itu sangat menyinggung perasaan rakyat Sabah kerana Jacel telah menjadikan isu tuntutan Sabah sebagai agenda kempen utama beliau.

“Bukan itu sahaja, Jacel juga merupakan jurucakap utama pencerobohan yang diketuai oleh Kiram di Lahad Datu tahun 2013.”

“Ramai yang terkorban akibat peristiwa itu, penduduk kampung hilang tempat tinggal dan ahli pasukan keselamatan kita telah terkorban. Malah kesannya masih dirasai oleh penduduk Pantai Timur Sabah, terutamanya kesan ekonomi,” tambah beliau.

Yong berkata, kempen Jacel untuk menuntut Sabah sememangnya diketahui ramai dan tidak mungkin Nurul Izzah, selaku Naib Presiden PKR serta rakan-rakan di dalam partinya tidak mengetahui mengenai kempen Jacel.

“Maka, rakyat Sabah sememangnya tersinggung, malah terganggu, melihat sokongan Izzah kepada Jacel.”

Gambar Izzah dan Jacel itu menimbulkan kemarahan di mana ramai yang mempersoalkan mengapa Nurul Izzah bertemu dengan individu yang bapanya Jamalul Kiram III telah mengarahkan 200 orang ‘Royal Sulu Army’ menceroboh Sabah pada Februari 2013.

Dalam satu gambar, Nurul Izzah dilihat sedang menikmati makan malam dengan Jacel dengan seorang lelaki yang tidak dikenali dan di dalam dua gambar lagi, beliau bergambar dengan Jacel sambil memegang poster ‘Bebaskan Anwar Segera’.

Beliau telah mempertahankan pertemuannya dengan Jacel, dengan berkata ianya diaturkan oleh pihak berkuasa Filipina.

Nurul Izzah berkata beliau ke Filipina pada 9 November bersama-sama dengan Ahli Parlimen Batu Tian Chua dalam satu lawatan untuk bertemu dengan pemegang kepentingan politik di negara itu.