SPRM Harus Soal 2.6 bilion Najib Sebelum Akhir Tahun

Ini adalah sesuatu yang agak mengejutkan apabila diperkatakan oleh Peguam Negara dan sesuatu yang berada di fikiran saya untuk sekian lama.

Mengapa SPRM belum menyoal Najib berkaitan RM2.6 bilion itu? Sudah berbulan-bulan lamanya!

Jika SPRM ingin menyoal Najib, saya rasa apa yang mereka perlu lakukan menyusun jadual dan mengeluarkan kenyataan akhbar untuk mengatakannya.

Adakah mereka serius untuk menyiapkan fail ini dengan cepat atau tidak?

Semua penangguhan ini hanya menambah ketidakpastian dan membolehkan golongan pembangkang dan anti-Najib untuk memainkan isu ini lebih lama.

Bagaimanapun, pada 3 Disember, Najib akan menjawab 27 soalan mengenai RM2.6 bilion ini di Parlimen.
——
Peguam negara berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ada tempoh hingga akhir tahun ini untuk merakamkan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkenaan wang RM2.6 bilion yang diterimanya, sambil menambah siasatan terhadap derma kontroversi itu juga mesti dimuktamadkan sebelum tempoh itu.

Tan Sri Mohamed Apandi Ali memberitahu The Malaysian Insider, beliau mengarahkan agensi anti rasuah itu melengkapkan siasatannya terhadap bekas anak syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB), SRC International dan derma RM2.6 bilion itu sebelum akhir tahun ini kerana beliau mengambil serius kebimbangan orang ramai.

Apandi berkata, beliau memaklumkan Najib mengenai perkara itu dan perdana menteri (PM) setuju beliau perlu disoal.

“Lambat laun, sebelum mereka memberi saya failnya, PM mesti beri keterangan,” kata Apandi.

Pada 5 Ogos, SPRM berkata ia akan menyoal Najib berhubung sumbangan derma itu, yang disahkannya datang daripada seorang penderma Timur Tengah.

Pengkritik menuduh pihak berkuasa sengaja melengah-lengahkan siasatan, manakala Majlis Raja-raja bulan lalu menggesa kerajaan melengkapkan siasatan berkaitan dengan 1MDB dengan seberapa segera yang mungkin.

Apandi berkata, beliau menyedari kenyataan Raja-raja Melayu itu dan juga kebimbangan orang ramai.

“Serta-merta selepas kenyataan Majlis Raja-raja, pada malam itu sendiri, saya menghantar mesej kepada SPRM, ‘Hello, lebih baik anda cepat’.

“Dan kemudian, untuk memastikan mereka mempercepatkan (proses), saya kata, ‘selesaikan siasatan pada hujung Oktober’. Itu arahan saya,” katanya.

Tetapi, beliau berkata, SPRM kemudiannya memberitahunya, “mustahil” untuk mereka menyiapkannya sebelum hujung Oktober dan meminta tarikh itu ditukar kepada akhir tahun ini.

http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/sprm-mesti-soal-najib-isu-rm2.6-bilion-sebelum-akhir-tahun-kata-peguam-nega