Tidak Wajar Tolak Bajet 2016 Hanya Kerana Perkara Kecil – Bekas MB Selangor

“Saya tidak melakukannya bagi pihak orang lain. Saya lakukannya demi mereka,” kata bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika diminta mengulas tindakan menyokong Bajet 2016 pada Isnin.

Kata Khalid, beliau yakin tindakannya itu tepat kerana terdapat keperluan pembangunan yang perlu dilaksanakan oleh kerajaan untuk kesejahteraan rakyat.

Jelasnya, adalah tidak wajar untuk menolak keseluruhan bajet hanya disebabkan ada sebahagian kecil yang perlu diperbaiki.

“Malah, ketika ucapan bajet saya, saya persoalkan keperluan penswastaan. Jadi kita boleh memperbetulkan masalah konsesi yang mengaut keuntungan besar hari ini.

“Jika ada perkara yang perlu kita betulkan, kita tidak perlu memperbetulkan keseluruhan bajet.

“Jadi sebagai ahli Parlimen Bandar Tun Razak, tiada keperluan untuk saya menolak bajet,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen di sini.

Dalam undian belah bahagi semalam, Khalid merupakan ahli Parlimen bebas yang menyokong Bajet 2016 selain daripada enam ahli Parlimen pembangkang yang lain.

Ketika undian dibuat, seramai 121 ahli Parlimen Barisan Nasional hadir manakala pembangkang sebanyak 81 ahli Parlimen.

Bagaimanapun selepas undian belah bahagi dibuat, keputusan menunjukkan 128 ahli Parlimen bersetuju dengan rang undang-undang tersebut manakala hanya 74 ahli Parlimen tidak bersetuju.

Menurut Khalid, beliau akan turun ke kawasannya di Bandar Tun Razak untuk menerangkan kepada rakyat rasional tindakannya itu.

“Kawasan saya mengundi saya untuk melakukan perkara yang betul. Jadi saya melakukan perkara yang betul daripada perspektif saya.

“Saya boleh berjumpa pengundi di kawasan saya dan mengatakan ini yang saya rasa betul,” katanya.