TnB Punya Kawalan Terhadap IPP Asing Dan Tempatan

Kawalan asing syarikat utiliti baik bagi industri serta demi untuk kepentingan negara, kata para penganalisis dan pemerhati sektor tenaga.

Mereka menyedari tentang kebimbangan yang dibangkitkan oleh beberapa pihak kebelakangan ini mengenai spekulasi jualan aset kuasa kepada pelabur asing dan merasakan kebimbangan itu tidak mengambil kira realiti industri.

Seorang penyelidik memberi tahu Bernama, “Perniagaan tenaga tidak sebebas sebagaimana pengendali mungkin mahukannya disebabkan oleh mekanisme kawalan kukuh, pelesenan dan pelbagai badan kawal selia, termasuk Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dan Suruhanjaya Tenaga.”

Sebagai contoh, katanya, tarif bagi Pengeluar Penjana Bebas (IPP) ditetapkan di bawah Perjanjian Pembelian Kuasa (PPA) jangka panjang bagi tempoh hayat PPA, dan sebarang semakan semula kepada tarif-tarif ini akan memerlukan kebenaran Suruhanjaya Tenaga dan Tenaga Nasional Bhd (TNB).

Selain itu, katanya, bekalan bahan api utama bagi stesen jana kuasa juga perlu didapatkan daripada entiti berkaitan atau dikawal kerajaan.

Ketika ini, TNB mengawal bekalan arang batu dan Petronas membekalkan gas.

“Sudah berakhir era apabila IPP tertentu boleh menetapkan ‘ambil atau bayar’ kepada TNB. Hari ini, TNB yang mempunyai kawalan penuh Grid Nasional, dan yang akan memutuskannya. TNB akan membeli apa yang ia perlukan dan bukan apa sahaja yang IPP hasilkan,” katanya.

Beliau menegaskan TNB mempunyai kawalan penuh terhadap IPP, asing atau tempatan, kerana di bawah PPA, TNB boleh campur tangan untuk mengambil alih operasi sesebuah stesen jana kuasa sekiranya berlaku pelanggaran kontrak.

Ditanya sama ada syarikat asing akan menggunakan struktur kos rendah (daripada ekonomi bidangan) bagi melemahkan pengendali tempatan, beliau berkata mereka pertamanya perlu mempunyai bahagian pasaran yang amat besar dari segi kapasiti dan penggunaan bahan api.

Dalam kes Edra Global Energy Bhd, yang kini akan dijual, bahagian kapasiti penjanaan dipasang efektifnya di Semenanjung Malaysia hanya 14.6 peratus, jauh berada di belakang gergasi pasaran TNB (50 peratus) dan Malakoff Corporation Bhd (25 peratus).

Bagi bahagian bahan api di Semenanjung Malaysia, Edra menggunakan kira-kira 17 peratus bagi jumlah kapasiti gas dan kira-kira 15 peratus bahagian jumlah kapasiti arang batu efektif, dan ia tidak mempunyai loji hidro.

“Dengan bahagian yang kecil, Edra tidak memberi ancaman besar kepada semua pihak, terutamanya memandangkan kedudukan pasaran TNB yang dominan dan unik dalam semua tiga segmen bekalan bahan api, penjanaan dan penghantaran, kekuatan kewangan (jumlah aset lebih RM110 bilion) dan hubungan rapatnya dengan industri IPP tempatan,” katanya.

Beliau juga menyangkal kebimbangan rakyat Malaysia bahawa mereka akan kehilangan pekerjaan dengan menyatakan tiada bukti yang menunjukkan syarikat asing akan membawa masuk pekerja asing bagi menggantikan rakyat Malaysia.

Laporan Pelaburan Malaysia oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menyatakan Malaysia meluluskan pelaburan berjumlah sehingga RM235.9 bilion pada 2014 yang berpotensi mewujudkan kira-kira 178,360 peluang pekerjaan.

Pelaburan asing membentuk 27.4 peratus daripada jumlah pelaburan (RM64.6 bilion).

Penting untuk diketahui bahawa banyak negara, termasuk Singapura, Australia, Indonesia dan United Kingdom (UK), membenarkan 100 peratus pemilikan asing stesen jana kuasa.

Penganalisis tenaga Hong Leong Investment Bank Research, Daniel Wong berkata walaupun sekiranya aset dijual kepada syarikat asing, TNB masih kekal saham defensif dan peranannya dalam penghantaran bekalan elektrik negara tidak akan terjejas.

Profesor Ekonomi, Dr Hoo Ke Ping baru-baru ini berkata memberikan sektor tenaga negara kepada negara asing akan membukakan sektor itu kepada pertumbuhan dilindungi.

“Memberikan IPP kepada kawalan asing bermakna kita membenarkan pelaburan asing masuk ke negara ini. Tanpa pelaburan asing, bukan mudah bagi sesebuah negara untuk mencapai pertumbuhan,” katanya.

Menekankan bahawa kini merupakan era globalisasi dan negara-negara di dunia membukakan ekonomi mereka, Hoo berkata negara ini juga telah membukakan ekonominya kepada pasaran global sejak kerajaan bersetuju dengan Kawasan Perdagangan Bebas Asean (AFTA) pada 1992.

Sumber:http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/bu/newsbusiness.php?id=1191119