Undi Mungkin Tidak Memihak Kepada BN Tetapi Pertukaran Kerajaan Tidak Mungkin Akan Berlaku

Perubahan demografik mungkin menunjukkan yang pengundi kini tidak lagi setia kepada Barisan Nasional, tetapi keadaan pembangkang yang menyedihkan bermakna pertukaran kerajaan di Malaysia kemungkinan tidak akan berlaku, menurut pandangan editorial Asia Sentinel (AS).

“Pakatan pembangkang kelihatan begitu teruk, yang disebabkan perbezaan agama dan kaum, perebutan kuasa oleh parti-parti di dalam pakatan pembangkang. Kecuali terjadi suatu keajaiban, peluang mereka untuk menang pilihanraya, walaupun dengan situasi Barisan Nasional yang sangat teruk sekarang, adalah sangat kecil,” dakwa AS.

Salah satu penyebabnya, dakwa penerbitan yang disegani itu, adalah kelemahan pembangkang sendiri yang gagal menawan dan menguasai dinamik kaum di dalam landskap politik Malaysia.

“DAP untuk beberapa lama cuba untuk membawa masuk lebih ramai orang Melayu ke dalam partinya, tetapi hakikatnya, ia masih parti orang Cina yang membuatkan orang Melayu berasa takut terhadap kemungkinan mereka, yang sudah sedia menguasai ekonomi, akan menguasai politik negara suatu hari nanti jika mereka berkuasa.”

AS menambah, untuk menampakkan yang pakatan pembangkang ini boleh menjadi sesuatu yang boleh diharap dan dipercayai oleh pengundi pada pilihanraya umum akan datang, mereka mesti menampakkan yang pakatan mereka dikuasai oleh orang Melayu. Itulah yang sebenarnya merencatkan pembangkang.

Dengan memetik analisis yang diterbitkan oleh Scott Ng dari FMT sendiri, AS mengakui yang hingga hari ini, pembangkang masih gagal untuk mengambil kesempatan di mana hanya 43% pengundi Melayu adalah penyokong UMNO.

“Democratic Action Party adalah parti terkuat di dalam Pakatan Pembangkang,” akui AS. PKR pula terlalu berpuak-puak, Amanah masih lagi tiadak kekuatan dan sumbangan yang signifikan, manakala PAS tersekat di tengah-tengah, dengan beberapa pihak condong ke arah UMNO dan Najib.

Sementara itu, kata AS, pemimpin muda seperti Rafizi Ramli dari PKR, Tony Pua dari DAP dan juga Liew Chin Tong belum lagi mempunyai karakter dan kekuatan untuk mengambil alih tampuk pemerintahan parti.

“Dengan Anwar di penjara, dengan Barisan bersungguh memastikan beliau terus dipenjara selama-lamanya, tidak ada faktor penyatuan yang unggul untuk menyatukan kembali pembangkang dan memberikan ia nafas dan imej Melayu,” simpul AS. “Ini bermakna, walapun begitu banyak masalah sedang melanda Barisan, mereka mungkin akan terus terselamat dan berkuasa”

Sumber:http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2015/11/18/inept-opposition-will-need-a-miracle-to-win/