YaPEIM Bukan Organisasi Yang Bergantung Pada Geran Kerajaan Atau Dana Awam

Pendirian saya sejak berada dalam industri kewangan Islam samada sebagai Penasihat Syariah dan Lembaga Pengarah beberapa institusi perbankan Islam dan Takaful sehinggalah diamanahkan menerajui YADIM dan sekarang sebagai TM masih kental dan sama iaitu, mana-mana institusi yang berlabel Islam mesti mempunyai nilai integriti dan urus tadbir yang tinggi.

Dengan kata lain bukan hanya sentiasa memastikan operasi dan pengurusan organisasi mematuhi segala peraturan dan undang-undang manusiawi tetapi juga undang-undang Syariah meliputi soal moral dan akhlak atau istilah Inggeris, “legally and morally right”.

Dalam konteks isu YaPEIM yang sedang hangat diviralkan, kita harus berlaku adil untuk memberi ruang kepada penyiasatan secara holistik yang sedang dilakukan oleh SPRM atas pelbagai tuduhan dan dakwaan salah laku.

Harus difahami juga sebagaimana yang dijelaskan oleh YaPEIM dalam kenyataan mereka semalam, YaPEIM bukannya organisasi yang bergantung kepada geran kerajaan mahupun dana awam seperti sedekah jariah melalui skim potongan gaji untuk menguruskan hal ehwal pentadbirannya.

YaPEIM yang terkenal dengan orientasi perniagaan Ar-Rahnu (202 cawangan seluruh Malaysia) dan merupakan pelopor dan peneraju dunia dalam instrumen kewangan Islam ini mendapat pendapatan mencecah RM83 juta tahun ini dan mempunyai aset terkumpul bernilai RM1.034 billion. Dari segi operasi dan pengurusan kewangan, YaPEIM setiap tahun diaudit oleh JABATAN AUDIT NEGARA.

Sebab itulah tuduhan mengatakan YaPEIM bergantung kepada dana jariah melalui skim pemotongan gaji untuk membayar elaun-elaun pengurusan adalah keterlaluan dan perlu dibuktikan terlebih dahulu.

Walaubagaimanapun, dakwaan-dakwaan salah-laku termasuk pembayaran elaun yang tinggi kepada pihak pimpinan tertinggi YaPEIM dan kewujudan nepotisme perlu diberikan perhatian serius oleh pihak pengurusan.

Justeru saya amat mengalu-alukan siasatan menyeluruh SPRM yang telah dan sedangpun berjalan agar dapat menjernihkan kembali reputasi YaPEIM selaku institusi berlabel Islam yang berorientasikan kebajikan dan penjanaan ekonomi.

Jika didapati ada unsur-unsur penyelewengan mahupun pecah amanah, tindakan serius perlu diambil.

Sebaliknya jika ia melibatkan isu-isu kelemahan polisi, prosedur dan urus tadbir, maka penambah-baikan harus dilakukan dengan segera. Anologinya ialah jika atap yang bocor, maka yang perlu dibaiki ialah atapnya bukan rumah yang harus diruntuhkan.

Justeru tidak perlulah melakukan pelbagai spekulasi dan andaian kerana takut-takut kita terjebak dalam fitnah dan tohmah yang bukan sahaja memudaratkan diri sendiri dengan dosa jariah berterusan tetapi juga menghancurkan institusi agama yang terbukti berjaya memperkenalkan skim Ar-Rahnu kepada dunia sejak 1993.

Oleh Dr Asyraf Wajdi Dusuki,
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
https://www.facebook.com/permalink.php?story_fbid=1197394116957300&id=116331768396879