34 Negara Islam Bentuk Pasukan Tentera Perangi Keganasan

Arab Saudi hari ini mengumumkan pembentukan pasukan tentera 34 negara Islam untuk memerangi keganasan, menurut kenyataan bersama yang disiarkan agensi berita SPA.

“Negara yang disebut di sini memutuskan pembentukan pakatan tentera diketuai Arab Saudi untuk memerangi keganasan, dengan pusat operasi bersama berpangkalan di Riyadh bagi menyelaras dan membantu operasi tentera,” menurut kenyataan itu.

Senarai panjang negara Arab seperti Mesir, Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE), bersama-sama negara Islam lain termasuk Turki, Malaysia, Pakistan dan negara di Teluk Arab serta Afrika dinyatakan.

Pengumuman itu menyatakan ‘tugas melindungi negara Islam daripada kejahatan semua kumpulan dan pertubuhan pengganas tidak kira mazhab dan nama yang menyebabkan kematian dan kemusnahan di muka bumi dan bertujuan menakutkan orang tidak bersalah.’

Iran, yang bermazhab Syiah, musuh utama Arab Saudi yang berfahaman Sunnah, tidak disebut sebagai peserta, ketika konflik proksi antara dua kuasa serantau itu merebak dari Syria ke Yaman.