Anak Sulung Lebih Faham Masalah Keluarga

1. Sebenarnya untung jadi anak yang sulung ni. Kita boleh lebih memahami masalah keluarga dari awal. Dari kita kecil, hinggalah kita dewasa.

2. Arwah abah adalah seorang pegawai tentera. Hanya memiliki sebuah motor honda kapcai. Pernah duduk termenung dengan mak pada waktu pagi sebab tiada duit nak isi minyak untuk pergi kerja. Nasib baik aku ada duit simpanan yang berbulan-bulan aku simpan. Duit sekolah dapat seposen. Kadang-kadang tak dapat. Bila dapat, aku simpan bawah karpet. Hasilnya bila ada 2 ringgit, bagi pada arwah abah untuk isi minyak motor.

3. Gaji abah masa tu aku tak tau berapa. Tapi yang aku tau, bila dapat gaji, benda pertama yang abah dan mak beli adalah susu anak-anak dia. Ada baki, baru bayar hutang uncle jual roti dan lain-lain hutang. Kadang-kadang bayar separuh.

4. Suatu hari, aku terdengar perbincangan abah mak. Abah nak berniaga sebab tak sanggup nak tampung kos sara hidup yang tinggi ketika tu untuk membesarkan kami 5 beradik.

5. Perniagaan pertama, jual cili dan ulam di pasar malam. Abah balik kerja jam 6 pm, terus siap-siap pi pasar malam. Aku selalu ikut. Aku selalu jerit-jerit agar org tahu aku ada jual cili dan ulam walaupun berlapikkan tikar. Tak macam orang lain ada meja. Upah yang aku dapat kadang-kadang 2-3 cucuk sate. Balik jam 11 mlm. Itu rutin harian abah dan aku.

6. Perniagaan abah bertambah baik. Abah nak berniaga jual air tebu. Wang modal dah ada. Tapi kenderaan tak ada. Abah beli van. Masa tu harga kereta sangat murah. Nak ambil lesen pun mudah.

7. Mula-mula berniaga air tebu di deretan kedai di Taman Sri Gombak, berhampiran dengan masjid. Aku setiap kali habis sekolah, akan bawa air gula bertapak dari rumah ke tempat abah berniaga. Rumah aku masa tu berhampiran dengan padang. Untuk menuju ke tempat abah berniaga bukan lah jalan yang rata, ianya mendaki bukit. Melalui hadapan Sekolah Taman Sri Gombak. Siapa yang tinggal di situ mesti faham.

8. Kadang-kadang air gula yang aku bawa panas. Bawa pula pakai periuk. Banyak kali kene berhenti. Tak silap aku, masa tu aku darjah 4.

9. Pernah suatu hari, air gula yang aku bawa terjatuh. Kena kaki aku. Panas!! Aku duduk bawah pokok. Aku menangis. Menangis bukan sebab sakit kena air panas. Menangis sebab macam mana abah nak berniaga tanpa air gula. Nak beli gula bukan ada duit. Mak mesti marah. Sudah pasti.

10. Alhamdullilah, semasa aku duduk bawah pokok kebuntuan, ada seorang kakak sedang joging lalu di hadapan aku. Dia tanya aku kenapa aku menangis. Aku cerita pada dia. Dia ajak aku pergi ke kedai beli gula. Gula dah dibeli. Tapi aku takut nak balik rumah. Kakak tu bawa aku balik dan jelaskan pada mak. At least momentum kemarahan mak tak la setinggi mana. Cubit tu wajib kena.

11. Wajah kakak tu aku ingat sampai sekarang. Aku harap boleh jumpa dia.
——-
Aku cerita kisah pahit ini bukannya nak minta simpati atau pujian. Apa yang aku nak sampaikan adalah kehidupan melakukan 2 – 3 kerja bukan sesuatu yang baru. Kesempitan kos sara hidup bukan perkara yang baru. Kesusahan bukan perkara yang baru.

Jika ianya berlaku pada zaman ini dan aku ceritakan pada kalian apa yang aku hadapi, aku sangat pasti kisah aku akan menjadi tumpuan media sosial. Kisah aku akan menjadi kayu ukur kelemahan pentadbiran. Kisah aku akan dijadikan kekejaman kerajaan. Dan sudah pasti akan akan jadi popular.

Tapi sayang. Ini adalah kisah ketika aku darjah 4. Kepada siapa yg patut aku ceritakan pada ketika itu? Ketika kawan-kawan lain beriadah di padang dan taman permainan, aku sedang bersiap untuk ke Pasar Malam. Adilkah?

Aku bangga jadi anak sulung.

Walaupun kini kehidupan aku lebih baik, aku tetap rindu zaman ketika itu. Biarlah susah mana sekalipun, aku bebas dari cemuhan dan sikap negatif masyarakat yang malas berusaha tetapi suka meminta-minta.

Dr Mahathir adalah Perdana Menteri ketika itu. Selalu aku nampak beliau di kaca TV. Arwah abah selalu puji beliau. Kata abah, tanpa usaha Dr Mahathir, belum tentu kita dapat peluang berniaga dan menambahkan pendapatan.

Bezakan zaman dahulu dan kini?

Oleh Dr Aznil Hisham,
https://www.facebook.com/aznil.hisham.1/posts/557271687773223:3