Anwar Cuba Menggulingkan Dr Mahathir Sama Seperti Apa Yang Muhyiddin Cuba Lakukan Sekarang.

“Apa jasa Datuk Seri Najib yang boleh dibandingkan dengan apa yang telah saya sumbangkan?” kata Tun Dr Mahathir Mohammad. “Beliau mempunyai hutang RM42 bilion. Beliau menubuhkan syarikat sendiri. Beliau penasihat syarikat.”

“Saya tidak buat semua tu. Bagaimana orang boleh berkata kami sama? Saya tak paham. Saya seperti ayahnya, benar. Ayah beliau mengutamakan pembangunan orang melayu. Ketika saya menjadi PM, saya bina jalan, saya bina sekolah. Kita bina klinik. Saya buat banyak benda untuk kampung.”

“Apa yang Najib lakukan adalah menanggung hutang yang tinggi, dan untuk menyembunyikan wang itu di bank. Dia mempunyai RM2.6 bilion. Saya tidak. Saya mempunyai wang dalam akaun saya, tetapi tidak sama.”

Kadang-kadang, apabila Tun M berucap, ia memberikan persepsi samada beliau sedang berbohong atau cuba berbohong dengan pantas – mungkin beliau terfikir yang kita akan termakan dengan apa sahaja yang beliau cakap. Atau mungkin, seperti yang suka disebut oleh Tun Mahathir, ‘Melayu Mudah Lupa’ , dan beliau sendiri sudah lupa banyak perkara yang beliau telah lakukan apabila beliau memimpin Malaysia selama 22 tahun.

Dr Mahathir kata beliau membina jalanraya, sekolah, dan klinik semasa beliau memerintah. Dan apa yang PM Najib buat hanyalah mengumpul hutang sebanyak RM42 bilion. Selain dari itu, Najib tidak berbuat apa.

Sebenarnya, semua perdana menteri selepas Tunku Abdul Rahman membina sekolah, hospital, klinik dan sebagainya. Di setiap negara di dunia ini, perdana menterinya pasti membina sekolah, klinik, hospital. Bukan di Malaysia sahaja ini terjadi dan ini bukan monopoli eksklusif Dr Mahathir. Malah, lama sebelum Merdeka, pada tahun 1800an penjajah telah pun membina jalan, sekolah, hospitals, klinik dan banyak lagi di seluruh Malaysia.

Maka, kita bukannya tinggal atas pokok sebelum Dr Mahathir mengambil alih kuasa pada tahun 1981. Atas sebab itu, MARA ditubuhkan oleh British, yang ketika itu dipanggil RIDA. Dan British yang menyebabkan Malaya kaya melalui eksploitasi timah dan getah.

Malaya menyumbang 30% kekayaan Empayar British. Betapa kayanya Malaysia selama lebih 100 tahun sebelum Malaya merdeka dan 100 tahun sebelum Dr Mahathir menjadi perdana menteri. Malaya adalah kesayangan Empayar British. Dan Dr Mahathir tiada kaitan dengannya.

Apabila Dr Mahathir menjadi PM, beliau juga mengumpul hutang. Bank Bumiputera Malaysia Berhad (BBMB) dibebani hutang, lebih dari sekali dan terpaksa di ‘bail out’ Petronas. BBMB ada potensi yang besar sebelum Dr Mahathir menjadi PM. Di bawah pemerintahan Dr Mahathir, jahanam terus BBMB.

Petronas juga terpaksa ‘bail out’ syarikat milik anak Dr Mahathir. Beliau mahukan RM2 bilion, tetapi Anwar hanya sanggup memberikan RM1 bilion dan Dr Mahathir tidak pernah memaafkan Anwar sebab itu. Setahun kemudian, Dr Mahathir menghumban Anwar ke dalam penjara atas tuduhan seksual sedangkan ianya adalah kerana sebab lain. Dan sebab itu adalah Anwar cuba menggulingkan Dr Mahathir sama seperti apa yang Muhyiddin cuba lakukan sekarang.

Dan kemudiannya Dr Mahathir terpaksa menjual syarikat penerbangan negara, MAS untuk menampung kerugian tukaran asing RM30 bilion (dan kemudian membeli semula MAS pada harga tidak masuk akal). RM30 bilion ketika itu bersamaan dengan RM50 bilion pada hari ini, melebihi RM42 bilion yang dileterkan oleh Dr Mahathir. Senarainya panjang lagi tapi saya rasa anda sudah faham apa yang saya cuba sampaikan. Dan apa yang saya ingin nyatakan apa yang dikatakan oleh Tun Mahathir adalah tidak benar. Sama ada beliau yang terlupa atau beliau fikir kita yang terlupa.

Dr Mahathir terus-terusan berbicara mengenai hutang RM42 bilion iaitu hutang 1MDB. Sekurangnya, ianya telah berlainan dari apa yang beliau bisingkan setahun yang lepas apabila beliau berkata RM42 bilion ‘lesap’. Maka sekarang Dr Mahathir akui yang ianya hutang berjumlah RM42 bilion bukan RM42 bilion yang lesap begitu sahaja.

Sebenarnya, Dr Mahathir sendiri tidak memahami apa yang beliau bicarakan ini. Apa yang beliau tahu mengenai 1MDB adalah apa yang Syed Akbar Ali a.k.a OutSyed The Box beritahu beliau. Sama ada Syed tidak mengetahui perakaunan atau kewangan korporat atau beliau ingin memperdaya Tun Mahathir, itu kita tidak tahu.

Dan Muhyiddin juga tidak lebih tahu dari orang lain. Bukankah beliau telah mengakui apa yang beliau tahu mengenai 1MDB diperolehi dari hasil pembacaan beliau dalam The Edge? Ya, beliau menghadiri mesyuarat kabinet. Benar, beliau menghadiri mesyuarat UMNO. Tetapi beliau langsung tak mengambil tahu apa-apa dan tidak memahami apa yang dibincangkan. Jadi selepas mesyuarat ini, beliau membaca akhbar untuk mengetahui apa yang sedang berlaku dan meminta nasihat dari Syed, yang akhirnya hanya mengelirukan diri beliau.

Dr Mahathir dan Muhyiddin sentiasa mengulang hutang RM42 bilion yang dikumpul oleh 1MDB. Bagi mereka, ini sahaja yang mereka nak tahu. Nak baca laporan kewangan pun mereka tak mampu. Jika mereka baca, mereka pasti tahu yang laporan ini mempunyai 2 kolum. Satu kolum aset, satu lagi kolum liabiliti. Dan ada tolak kedua kolum itu untuk mendapatkan Net Tangible Asset atau NTA untuk melihat ianya NTA positif atau negatif.

Isunya bukan berapa banyak hutang yang telah dikumpul. Isunya sama ada NTA itu positif atau negatif. Tak penting sama ada sesebuah syarikat mempunyai RM1 bilion atau RM100 bilion liabiliti. Yang penting berapa jumlah aset yang dimiliki dan NTA positif atau negatif. Inilah yang tidak difahami oleh Dr Mahathir dan Muhyiddin.

Syed memberitahu Dr Mahathir dan Muhyiddin yang 1MDB berada di dalam masalah. Dan ia mengalami masalah kerana ia telah meminjam RM42 bilion. Apa yang tidak diberitahu Syed adalah, mungkin sebab beliau sendiri tidak tahu, adalah liabiliti RM42 bilion ini telah disokong oleh aset bernilai RM51 bilion. Ini bermakna NTA 1MDB adalah positif dan bukan negatif, iaitu apa yang penting di dalam perniagaan.

Mereka terus-terusan memanggil 1MDB sebagai syarikat yang dihimpit hutang. 1MDB mungkin memiliki hutang tetapi asetnya masih melebihi liabiliti. Syarikat anak Dr Mahathir terhimpit dengan hutang. Sebab itulah mereka memerlukan Petronas untuk ‘bail out’ kalau tidak syarikat itu akan bangkrap. 1MDB tidak akan bangkrap kerana asetnya melebihi liabiliti.

Dr Mahathir dan Muhyiddin tidak memperolehi nasihat yang sepatutnya. Sama ada Syed sendiri tidak tahu apa-apa atau beliau memperdayakan Mahathir dan Muhyiddin untuk mempercayai yang mereka ada ‘lombong emas’ untuk digunakan terhadap Najib untuk menjatuhkan beliau. Peluang emas sepatutnya digunakan sebaik mungkin dan dalam tempoh 6 bulan ke setahun, Najib akan menjadi sejarah.

Tetapi Najib tahu itu bukan isunya. Ianya isu yang direka untuk gagal dari hari pertama lagi. Dan ianya akan gagal kerana mereka cuba mencipta isu dari perkara yang tiada isu. Ianya seperti memetik sesuatu yang tidak wujud dan cuba mewujudkannya.

Dan sebab itulah Najib hanya berdiam diri, dan itu tidak disukai Mahathir dan mereka yang menggunakannya untuk menjatuhkan Najib. Mereka menuduh Najib takut. Tetapi Najib tahu, beliau tidak perlu memberikan respon. Beliau tidak perlu berbuat apa-apa kerana akhirnya isu yang cuba diwujudkan ini akan mati begitu sahaja.

Kemudian mereka bangkitkan isu duit 1MDB di Cayman. Mereka cuba menampakkan dengan meletakkan wang di Kepulauan Cayman adalah jenayah. Apa yang salahnya dengan meletakkan wang di Kepulauan Cayman? Memandangkan 1MDB meminjam di dalam dolar, mereka pun perlu menyimpannya di dalam dolar untuk mengelakkan risiko susut nilai matawang. Dr Mahathir meminjam di dalam dolar dan membawa pulang wang tersebut ke Malaysia dan apabila ringgit menyusut, Malaysia mengalami kerugian pertukaran mata wang yang besar. Sekurang-kurangnya 1MDB lebih bijak. Mereka melindungi diri dari kerugian susut nilai itu. Mungkin Mahathir dan Muhyiddin tidak memahami bagaimana 1MDB beroperasi atau Syed tidak mampu menasihati mereka kerana beliau sendiri tidak tahu.

Mereka sepatutnya menggunakan isu yang lebih mudah terhadap Najib – Seperti Dr Mahathir menggunakan isu liwat terhadap Anwar. ‘High financing’ adalah terlalu rumit untuk orang seperti Mahathir dan Muhyiddin (yang memperolehi maklumat dari pembacaannya di The Edge). Soalannya: Adakah penasihat mereka Syed pun tak tahu apa-apa?

Syed suka memanggil Najib bodoh. Akhirnya Najib terbukti lebih pintar dalam permainan ini. Jadi siapa yang bodoh? Saya terfikir apa Dr Mahathir dan Muhyiddin panggil Syed sekarang – bangang mungkin?

Dr Mahathir dan Muhyiddin membina keseluruhan strategi mereka untuk menjatuhkan Najib dengan menggunakan isu 1MDB. Dan isu itu terbukti bukan isu. Dan disebabkan itu Muhyiddin dan Shafie Apdal menerima akibatnya. Dan Dr Mahathir kini pastinya hanya boleh melihat dengan geram Najib meraikan krismas sebagai Perdana Menteri kerana kalau mengikut pelan asal, Najib tersingkir pada Julai lepas. Jadi si ‘bodoh’ telah mengalahkan si ‘bangang’ kali ini.

Seperti mereka katakan, berdiam diri itu sebenarnya membingitkan. Dan Najib masih berdiam diri walaupun teruk dihentam. Mereka tafsir Najib yang berdiam diri sebagai Najib yang telah tewas. Tetapi walaupun berdiam diri, Najib tahu mereka sebenarnya telah tersasar dan tidak perlu melayan salakan mereka. Apa yang perlu Najib buat adalah hulur tali. Hulur tali sepanjang mungkin sehingga mereka akan menjerut leher mereka sendiri.

Apabila Mahathir, Muhyiddin dan Shafie akan mengharungi 3 hari penuh cabaran ketika Perhimpunan Agung UMNO nanti, mereka mungkin akan memaki hamun Syed kerana telah memperdayakan mereka. Mereka fikir mereka ada kad paling kuat, rupanya kad yang paling lemah. Apa yang Najib perlu buat hanyalah persembahkan kad terkuat beliau dan keluar dari Perhimpunan UMNO dengan penuh kejayaan.

Satu komedi yang penuh dengan kesalahan, seperti yang Shakespeare selalu ungkapkan. Orang yang ketawa terakhir adalah orang yang ketawa kemenangan. Dan Najib lah yang terakhir ketawa. Syed mesti dah tepuk dahi sendiri, itu pun jika Dr Mahathir, Muhyiddin dan Shafie tidak menepuknya terlebih dahulu.

Oleh Raja Petra Kamarudin,
http://www.malaysia-today.net/how-syed-conned-mahathir-and-muhyiddin/