Kenyataan Media Tentang Spekulasi Kenaikan Kadar Tol PLUS

KENYATAAN AKHBAR TENTANG SPEKULASI KENAIKAN KADAR TOL LEBUHRAYA PLUS OLEH MEDIA.

Kami mengambil perhatian terdapat spekulasi di dalam media baru-baru ini mengenai kenaikan kadar tol lebuhraya dimiliki oleh PLUS.

Kami mengesahkan bahawa PLUS Highways Bhd, yang kini 51% dimiliki oleh UEM Bhd, sebuah syarikat 100% milik Khazanah Malaysia di bawah Kementerian Kewangan dan 49% dimiliki Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), mempunyai perjanjian konsesi rundingan semula yang menetapkan kenaikan kadar tol sebanyak 5% setiap 3 tahun.

Perjanjian konsesi lebuhraya PLUS telah dirundingkan semula berdasarkan perjanjian konsesi legasi yang dahulunya membenarkan kenaikan 10% kadar tol setiap 3 tahun diputuskan di bawah pentadbiran Perdana Menteri sebelum ini.

Selepas PLUS Highways Bhd diambil alih sepenuhnya oleh UEM dan KWSP pada tahun 2011, perjanjian ini dirundingkan semula dan dikurangkan kadar kenaikan tol kepada 5% setiap 3 tahun.

Kali terakhir kadar tol lebuhraya PLUS dinaikkan adalah pada tahun 2005 dan sejak itu tidak kenaikan kadar tol dibenarkan walaupun kadar kenaikan sudah ditetapkan di dalam perjanjian bagi tahun 2008 dan 2011. Pihak Kerajaan telah berjaya merunding semula dan membayar pampasan kepada PLUS Highways Bhd untuk mengekalkan kadar tol sejak 10 tahun dahulu.

Kami ingin menekankan bahawa tidak akan ada kenaikan kadar tol secara automatik untuk lebuhraya PLUS dan Kerajaan masih belum membuat sebarang keputusan tentang ini. Dalam hal ini, sebuah jawatankuasa yang terdiri dari pemegang kepentingan utama seperti Kementerian Kewangan, Kementerian Kerja Raya, Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Unit Perancang Ekonomi (EPU), Pejabat Peguam Negara, Lembaga Lebuhraya Malaysia dan PLUS Highways Bhd akan ditubuhkan sebelum hujung tahun ini untuk merunding semula kadar tol baru.

Kami juga telah berjanji pada tahun 2013 bahawa pihak Kerajaan akan mengurangkan kadar tol lebuhraya antara bandar secara berperingkat menjelang tahun 2018 dan kami menegaskan sekali lagi kami berhasrat untuk mengotakan janji ini.

Dato’ Sri Fadillah Yusof,
Menteri Kerja Raya,
1 Disember 2015.