Kerajaan Masih Mengangkat Tun M Sebagai Negarawan

Saya tidak pasti samada Tun Dr Mahathir menyedari atau tidak bahawa apa yang berlaku di dalam UMNO dan apa yang bergerak di dalam kerajaan adalah dua perkara yang sangat berbeza.

Kita di dalam kerajaan masih mengekalkan profesionalisme good governance menjayakan dasar-dasar kerajaan sejak dahulu hinggalah sekarang. Hanya sesetengah tidak begitu selesa dengan apa yang berlaku kepada parti politik pemerintah khususnya konflik kepimpinan dalam parti UMNO. Namun, fokus di dalam kerajaan tidak pernah lari.

Di dalam kerajaan sendiri, saya tidak pernah mendengar apa-apa arahan, atau apa-apa pekeliling untuk menolak jemputan ke atas Tun Dr. Mahathir. Tidak ada arahan untuk memulaukan Tun Dr. Mahathir sama ada secara bersurat atau pun lisan. Arahan yang biasa diberikan adalah semua anggota kerajaan mesti fokus kepada kerja kerana harapan rakyat semakin tinggi kepada Kerajaan.

Pada hari ini, apa sahaja yang berlaku di dalam kehidupan seharian, hatta kereta pancit, roti canai semakin kecil malah sehingga perkara sekecil tahi gigi pun akan dipersalahkan kerajaan. Jika sesebuah jabatan kerajaan tidak mempunyai pasukan siber untuk menjawabnya ‘on the spot’ maka keseluruhan kerajaan akan menjadi mangsa. Paling teruk akan kena adalah sesiapa sahaja yang akan menjadi Perdana Menteri.

Barangkali apabila Lim Guan Eng menjadi Perdana Menteri, baharulah semua akan berhenti mengkritik kerana di Pulau Pinang hari ini Lim Guan Eng sangat-sangat selesa, aman dan damai!

Tidak ada arahan supaya dewan dan kompleks kerajaan ditutup jika Tun Dr. Mahathir mempunyai acara. Apa yang berlaku sebenarnya ialah kebanyakan acara-acara yang melibatkan Tun Dr. Mahathir dianjurkan oleh parti politik dan NGO. Di dalam hal ini, sudah tentulah pentadbiran kompleks mempunyai peraturan-peraturan biasa yang mesti dipatuhi.

Sekiranya sesuatu acara itu dianjurkan oleh jabatan kerajaan atau badan berkanun kerajaan, wakil kerajaan samada Menteri, Timbalan Menteri atau Ketua-Ketua Kerajaan di bawah bidang tugas masing-masing tetap akan hadir bersama-sama Tun Dr. Mahathir. Persepsi pasti akan timbul tetapi mereka meletaknya di belakang.

Sebelum Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini, saya mendapati portal-portal pembangkang memainkan sentimen kononnya Tun Dr. Mahathir dihalang hadir, kononnya Tun Dr. Mahathir belum pasti hadir dan sebagainya. Walhal, sebagaimana setiap tahun, semua mantan pemimpin UMNO apatah lagi mantan Presiden UMNO dijemput secara formal. Yang bising sangat pun media udara sahaja.

Begitu juga blog Tun Dr. Mahathir, tidak ada arahan kepada SKMM atau kepada pihak berkuasa untuk menutup blog Chedet. Jika Kerajaan mahu melakukannya, hanya dengan sekali click sahaja. Tetapi, kerajaan yang ada hari ini bukan jenis seperti itu.

Tun Dr. Mahathir masih bebas untuk menyatakan pandangannya. Kerajaan amat menghormatinya. Perdana Menteri berusaha untuk tidak menyakiti hati Tun Dr. Mahathir, dan pada masa yang sama Perdana Menteri masih mempunyai tanggungjawab untuk meneruskan tugas-tugasnya.

BUKTI.

Adakah anda ada melihat di mana-mana dewan kerajaan, kompleks kerajaan atau mana-mana venue terpampang arahan tidak membenarkan acara melibatkan Tun Dr. Mahathir?

Kedua, adakah anda pernah membaca arahan daripada mana-mana jabatan supaya menghalang kehadiran Tun Dr. Mahathir di dalam majlis-majlis kerajaan?

Sebabnya mudah, kerana Kerajaan tidak pernah melupakan jasa-jasa Tun Dr Mahathir yang sangat bernilai kepada agama, bangsa dan negara kita. Kebisingan atau kepekaan Tun Dr Mahathir dengan pena dan kata-kata adalah perkara biasa, kerana Tun Dr Mahathir sejak awal 1940an sememangnya tidak pernah berdiam diri. Bacalah riwayat Tun Dr. Mahathir. Anda tidak akan berjaya menghalang Tun Dr. Mahathir menulis dan memuntahkan ideanya di atas kertas.

Tun Dr. Mahathir bukan Pak Lah. Dari segi politik, Pak Lah seorang yang tenang, tidak bersifat keras dan mempunyai latarbelakang agama yang menjadikan diri Pak Lah lebih lembut, steady dan memelihara negarawanisme dalam dirinya.

JATUH MENJATUH.

Perbuatan jatuh-menjatuh di dalam politik yang berskala besar seperti UMNO itu perkara biasa kerana mereka melihat banyak ‘opportunities’ di dalam parti itu. Seorang bekas Menteri Besar pernah berkata, di dalam UMNO mereka sangat mahir jatuh-menjatuhkan sesama mereka. Mereka cuma tidak mahir menjatuhkan musuh di luar UMNO.

Begitu jugalah berpecah dan berpisah di dalam PAS juga perkara biasa. Kerana kedua-dua parti ini (UMNO dan PAS) mengamalkan demokrasi. Berbezalah dengan DAP, jika anda mengkritik kepimpinan DAP, anda akan menerima nasib malang sebagaimana mereka yang telah mengalaminya.

Konflik etnik (DKK, DKA, DKM)* dan kenegaraan (Politik dan Kerajaan)** nampaknya sedang berjalan di hadapan kita. Ciri-ciri inilah yang menjatuhkan Kesultanan Melayu Melaka dahulu! Melayu Mudah Lupa.

*Buku Kebudayaan Melayu oleh Budayawan A. Samad Ahmad. (1990)

**Malaysian Politics and Government oleh Profesor Jayum Jawan. (2003)
———–
Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis.

Oleh Al Azharri Siddiq,
http://www.al-azharrisiddiq.com/2015/12/tun-dr-mahathir-di-mata-kerajaan.html