Kerana Kami Mempertahankan Hak Rakyat, Kami Disingkirkan

Salahkah kami mempertahankan kepentingan rakyat? Soal salah seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR, YB Cheah Kah Peng, ADUN Kebun Bunga kepada perwakilan PKR pada Kongres Nasional PKR ke-11, di Shah Alam, hari ini.

YB Cheah salah seorang daripada lima ADUN PKR yang memilih untuk berkecuali sewaktu undian dijalankan di DUN Pulau Pinang terhadap usul BN yang mencadangkan semua projek penambakan tanah di laut bagi pembangunan tertakluk kepada perdebatan umum.

Menurutnya, gara-gara mempertahankan kepentingan rakyat, beliau dan empat Adun PKR lain dikeji.

“Saya nak tanya perwakilan di sini, bolehkah kami mempertahankan kepentingan rakyat?

“Kerana kami mempertahankan hak rakyat, kami disingkirkan. Kami dimaki dan semua kata-kata buruk beredar terhadap kami,” katanya kepada perwakilan PKR.

Cheah menjelaskan PKR perlu melawan untuk mempertahankan hak rakyat.

“Saya nak kongsi satu kes. Baru-baru ini, kes ini dibangkitkan di DUN Pulau Pinang. Usul meminta supaya projek baru penambakan laut diteliti melalui pendengaran awam.

“Kalau kita parti yang benar-benar membela rakyat, tidak kira bagaimana kita dicabar, kita akan lawan dan terus lawan sehingga hak rakyat dipertahankan,” katanya yang mendapat sorakan perwakilan.

Usul yang dikemukakan oleh ADUN BN, Muhamad Farid Saad itu meminta kerajaan negeri membuat pendengaran awam terhadap projek penambakan laut dan menangguhkan kesemua rancangan penambakan laut baru sehingga kajian kesan alam sekitar serta sosial dibuat.

Namun, usul ini ditolak selepas gagal mendapat sokongan majoriti apabila hanya 10 Adun menyokongnya iaitu sembilan Adun BN dan seorang daripada DAP.

ADUN DAP (Tanjung Bungah), Teh Yee Cheu yang menyokong usul tersebut mengumumkan perletakan jawatannya sebagai Setiausaha Organisasi DAP Pulau Pinang dan menyatakan kesediaan berhadapan dengan tindakan daripada parti.

Sumber: https://aidcnews.wordpress.com/2015/11/28/salahkah-kami-pertahan-kepentingan-rakyat-yb-cheah/