Mari Bandingkan Kejayaan Proton Berbanding “Kegagalan” 1MDB

“Najib melalui 1MDB mahu mengambil alih IPP bagi menukar perjanjian berat sebelah dan menstabilkan harga letrik untuk rakyat.

Di satu pihak lagi Mahathir mahu suntikan dana berbilion kepada Proton dan terus memaksa rakyat mendapat kereta dengan harga yang mahal untuk melindungi Proton.”


Tun Mahathir berhak bertanya dan mengkritik pengurusan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tapi bukan dengan cara memanipulasi fakta dan melakukan serangan berterusan untuk menjatuhkan syarikat terbabit.

Ini kerana beliau sendiri mengetahui bahawa pelaburan dan perniagaan merupakan satu risiko, apatah lagi apabila perniagaan dan pelaburan ini melibatkan kepentingan negara dan keperluan mengutamakan polisi kerajaan berbanding keuntungan.

Namun Mahathir berterusan menyerang 1MDB seolah-olah zaman beliau tidak berlaku apa-apa kekurangan mahu pun kerugian. Semalam MYKMU menerbitkan artikel menyatakan kerugian Proton jauh lebih besar daripada 1MDB yang belum rugi, dan ia mendapat reaksi yang negatif daripada penyokong Tun. http://www.mykmu.net/2015/12/proton-kesilapan-terbesar-najib-dengar-cakap-mahathir/

Sehingga kini 1MDB hanya berhadapan dengan “aliran tunai” dan andaian ia akan mengakibatkan kerugian berbilion ringgit. 1MDB bertujuan menguruskan beberapa polisi kerajaan melalui perniagaan hasil beban peninggalan Tun Mahathir ke atas industri janakuasa bebasa (IPP). Namun ia menemui kegagalan setelah diserang bertalu-talu oleh Tun Mahathir dan konco-konconya.

Sejarah akan mengingati kegagalan 1MDB bukan sepenuhnya kerana model perniagaan beliau yang lemah tetapi kerana serangan Tun mahathir menyebabkan mereka gagal melancarkan IPO yang sepatutnya menjadi penyelesai kepada masalah aliran tunai.

Kita mempertikaikan Proton bukan kerana kita benci Proton. Kita sayang proton sebagai satu projek kereta nasional. Kita terima kegagalan Proton sebagai satu kegagalan dalam banyak kejayaan.

Selepas 30 tahun kita kena terima hakikat Proton tidak mempunyai daya saing kerana pasaran yang terhad.

Orang yang matang akan menerima bahawa dalam kita membangunkan negara mesti akan ada kegagalan. Yang penting kita merancang, melaksanakannya dan cuba menjayakannya. Jika gagal, kita harus mencuba jalan lain, bukannya terus mempertahankan kegagalan kita melalui suntikan dana dan modal.

Kita tidak nafikan jasa Tun Mahathir kepada pembangunan negara, namun Tun mahathir bukan sempurna untuk kita menjadikan kata-katanya sebagai “hadis sahih” terutamanya dalam bidang perniagaan. Sekian banyak perniagaan di bawah Tun Mahathir gagal dan terpaksa diselamatkan berkali-kali.

Kerajaan hanya menyumbang RM1 juta modal permulaan 1MDB, jaminan bon sebanyak RM5 bilion. Baru-baru ini juga kerajaan memberi “credit fasility” sebanyak RM950 juta.

Sebaliknya Proton telah beberapa kali rugi dan diselamatkan oleh kerajaan hanya kerana mahu mempertahankan ego Mahathir tanpa kepentingan strategik nasional seperti 1MDB.

Kereta nasional bukan kepentingan strategik negara. Hanya berapa kerat sahaja negara ada industri kereta sendiri.

Ditubuhkan dengan modal sebanyak RM150 juta dari kerajaan pada awal 90-an hanya membuat keuntungan melalui jualan kembali kepada kerajaan dan rakyat Malaysia.

Pada tahun 2000, Petronas terpaksa menyelamatkan Hicom dan Proton melalui pengambil alihan 25% saham Proton dengan kos RM1 bilion.

Baru-baru ini Proton mahu kita menanggung kos R&D sekitar RM3 bilion ringgit. Berapa buah kereta perlu dijual oleh Proton untuk mendapatkan RM3 bilion ini semula?

Menurut Abdul Rashid Musa, Ketua Pegawai Teknikal Proton, sebelum ini Proton telah membelanjakan RM18 bilion ringgit untuk R&D sepanjang 30 tahun lalu. Wang siapa selama 30 tahun ini? Sudah tentu wang kerajaan. Ini belum termasuk lagi suntikan dana lain bila Proton mengalami kerugian.

Malangnya, selepas RM18 bilion, Proton mengalami pengucupan jualan dan pasaran di dalam negara sendiri. Malah lebih mengecewakan sebahagian besar teknologi masih bergantung kepada Mitsubishi.

Ini belum dikira dengan pembinaan prasarana untuk Proton yang dianggarkan oleh Asia Times berjumlah sekitar USD2 bilion (RM7.5 bilion) sehingga 2003.

Pada tahun 2003 sahaja Proton membayar royalti penggunaan reka bentuk Mitsubishi sebanyak RM1.2 billion walaupun syarikat terbabit mempunyai saham 15% dalam Proton. Dianggarkan sepanjang hubungan Proton-Mitsubishi sehingga 2003 sahaja, Proton telah membayar RM17 bilion kos royalti kepada Mitsubishi.

Pada tahun 2005 juga Khazanah telah membeli 7.93% saham Mitsubishi pada harga RM384 juta.

Tanpa mengambil kira dasar perlindungan kereta nasional yang menaikkan harga kereta, ambil kiraan mudah sebegini sahaja:

a) Pembinaan dua buah kilang awal berharga RM6 bilion ringgit.
b) R&D sepanjang 30 tahun RM18 bilion ringgit
c) Bail out Petronas RM1 bilion
d) Bayar royalti Mitsubishi RM17 bilion (sehingga 2003 sahaja, jumlah mungkin sudah meningkat berkali ganda)
e) Kerugian pembelian MV Agusta dan Lotus, anggaran kasar sekitar RM1 bilion. Mungkin lebih.
f) Campur tangan khazanah Nasional melalui perubahan saham sahaja dianggar sekitar RM1 bilion

Setelah 30 tahun dan hampir RM44 bilion dibelanjakan kita masih tiada industri automatif yang sebenar dan Tun Mahathir mahu memberitahu kita 1MDB yang baru beberapa tahun ini dan belum lingkup sebagai tidak betul?

Ketika 1MDB masih boleh diselamatkan kerana aset melebihi hutang RM30 bilion, Proton sudah hampir tiada jalan kejayaan kecuali kerajaan terpaksa memungkiri janji untuk mengurangkan cukai kereta import dan memberi suntikan dana berbilion lagi.

Najib melalui 1MDB mahu mengambil alih IPP bagi menukar perjanjian berat sebelah dan menstabilkan harga letrik untuk rakyat.

Di satu pihak lagi Mahathir mahu suntikan dana berbilion kepada Proton dan terus memaksa rakyat mendapat kereta dengan harga yang mahal untuk melindungi Proton.

Tepuk dada tanyalah selera anda!

Najib belum menggunakan sepenuhnya RM1 bilion wang kerajaan untuk 1MDB. Mahathir pula sudah menghabiskan lebih RM44 bilion untuk Proton.

Sumber:http://www.mykmu.net/2015/12/kerajaan-belanja-rm-30-bilion-untuk-proton/