Menjawab Tun M : Selangor & Pulau Pinang Akan Kekal Tumpas Ke Tangan Pembangkang

JAWAPAN KEPADA SURAT TERBUKA TUN DR. MAHATHIR MOHAMAD.

15. “Besar kemungkinan parti akan kalah dalam PRU 14 seperti di Selangor dan Pulau Pinang.”

Banyak isu-isu yang dibangkitkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dalam blog terbarunya dikitar semula, tidak tepat dan separuh benar yang disensasikan demi mempengaruhi sentimen dan emosi ahli UMNO untuk menentang kepimpinan Perdana Menteri. Sangat menyedihkan bilamana Tun sanggup menabur fitnah demi menyingkirkan Perdana Menteri dan menubuhkan Council of Elders yang akan mengawal Perdana Menteri boneka beliau.

– Yang akan membuatkan Barisan Nasional kalah adalah tindakan Tun sendiri yang tidak sudah-sudah mengeluarkan fitnah, pembohongan dan tohmahan seperti ini. Sesiapa yang ambil alih jawatan PM tidak akan terlepas daripada serangan bertalu-talu Tun.

– Malah Tun sudah secara terang-terangan menyatakan bahawa beliau ingin menubuhkan Council of Elders yang akan menyelia Perdana Menteri seterusnya sekiranya Dato’ Sri Mohd Najib disingkirkan.

– Ini merupakan tindakan tidak demokratik, semata-mata demi memenuhi kehendak Tun yang tidak boleh menerima cara yang lain melainkan cara beliau. Kerana inilah Tun tidak berhenti-henti meminta PM melepaskan jawatan. Kerana PM seterusnya akan mengikut arahan beliau melalui Council of Elders.

– Program pembangunan Kerajaan yang bertujuan meningkatkan kualiti hidup rakyat sedang rancak berjalan.

– Antara lain, kunci kepada beberapa projek rumah mampu milik PR1MA telah diserahkan dan semakin banyak lagi akan menyusul. Jambatan Pulau Pinang kedua sudah siap, Fasa 1 MRT hampir siap, 1.5 juta pekerjaan baru diwujudkan dalam 5 tahun lepas dan menjadikan kadar pengangguran kita antara yang paling rendah di dunia. Koridor ekonomi seperti Iskandar Malaysia menyaksikan infrastruktur, rumah, kilang dan kawasan komuniti maju sedang dibina. Greater KL telah pun dimulakan, kawasan perbandaran makin bercambah, Fasa 1 Bas Rapid Transit telah siap pada pertengahan tahun ini dengan lebuh raya Pan Borneo akhirnya dilaksanakan dan bakal menjadi pemangkin ekonomi utama di Sabah dan Sarawak seperti lebuh raya PLUS untuk Semenanjung. Projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) sedang dijalankan. Ini semua adalah projek dan usaha yang dijalankan oleh pentadbiran Perdana Menteri untuk membangunkan negara ini. Seperti yang anda lihat, ini adalah hasil Program Transformasi yang dilancarkan 5 tahun lepas. Ia akhirnya berlaku dan kita amat teruja melihat impaknya. Inilah yang benar-benar penting buat rakyat.

– Penambahbaikan sedang berlaku di depan mata kita. Tetapi saya tahu bahawa ada yang akan melihat kepada yang buruk dan terus bercakap mengenai khabar angin, perkara separuh benar dan putar belit yang tidak berkesudahan. Mereka terus percaya bahawa ‘pengakhiran amat dekat’ dan bahawa pembangkang akan menang. Ia merupakan dakwaan yang dibuat berulang-ulang kali dalam tempoh lima dekad yang lalu, namun kita masih di sini.

– Walaupun semua orang bebas untuk mengkritik PM dan menyenaraikan semua ‘kegagalan’ beliau, ia juga penting untuk menyedari sejauh mana pencapaian kita dalam tempoh enam tahun lepas, dalam usaha memberikan pandangan yang adil mengenai sesuatu.

– Jikalau segala usaha-usaha ini disokong, dan lebih diketengahkan oleh Tun, Insya-Allah rakyat akan menyokong Barisan Nasional. Malah UMNO akan bertambah kukuh. Apabila Tun hanya menyerang sahaja, sudah tentulah kekuatan UMNO akan terhakis!

– Jadi sekiranya Tun berhenti, kita akan lebih mudah mengukuhkan UMNO dan menerajui pembangunan negara ini!

Oleh Salleh Said Keruak,
Menteri Komunikasi dan Multimedia.
http://sskeruak.blogspot.my/2015/12/jawapan-kepada-surat-terbuka-tun-dr.html