Perak telah mencatatkan lebihan atau surplus untuk tempoh lima tahun berturut-turut

Kerajaan negeri berjaya merekodkan prestasi pengurusan kewangan yang baik dan memberangsangkan dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

Perkara itu diakui oleh Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang yang menjelaskan bahawa komitmen tinggi dan sikap konsisten penjawat awam di negeri ini juga telah membantu menambah baik kedudukan kewangan Perak.

Katanya, pencapaian memberangsangkan itu juga berpacu daripada hasil kerjasama padu antara kerajaan nege­ri dengan penjawat awam.

“Ada banyak indikator yang boleh digunakan untuk menyokong kenyataan tersebut. Misalnya, Perak merupakan antara negeri terawal menyerahkan penyata kewangan untuk diaudit.

“Perak telah mencatatkan lebihan atau surplus untuk tempoh lima tahun berturut-turut. Kutipan hasil tahun lalu juga adalah tertinggi dalam tempoh tujuh tahun.

“Selain itu, pencapaian indeks akauntabiliti cemerlang empat bintang adalah tertinggi sejak diperkenalkan sebagai petunjuk prestasi utama (KPI) penjawat awam,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam bersempena Hari Audit Kebangsaan di sini malam tadi.

Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.
Dalam pada itu, Zambry optimis untuk terus berusaha menambah baik aspek pengurusan akauntabiliti negeri, khususnya dalam konteks pengurusan kerajaan.

Zambry percaya, setiap pencapaian perlu diperbaiki supaya terus meningkat daripada satu tahap kepada tahap yang lebih baik.

“Mungkin selepas ini, prosedur operasi standard (SOP) yang akan digunakan kerajaan negeri berbeza pula. Ini bagi memastikan sistem penyampaian negeri dapat dilaksanakan sebaiknya,” jelas beliau.