Rang Undang-Undang MKN, Menjawab Isu Rampas Kuasa Agong

Pencerobohan keamanan di Paris, ancaman pengganas tanpa henti di Amerika Syarikat dan pencerobohan di Lahad Datu adalah tiga contoh kes besar isu keselamatan era moden yang gagal dikendalikan oleh manusia. Sama ada manusia itu berada di Amerika Syarikat, Perancis atau Malaysia.

Sebab itulah pada tahun 2013 kerajaan telah menubuhkan ESSZONE . Kes ESSZONE adalah kes klasik insiden yang paling dekat untuk menggambarkan istilah “Kawasan Keselamatan” yang disebut di dalam RUU MKN.

Sekarang ini, ESSZONE di Sabah menggunakan Ordinan tahun 1962 dan pengisytiharan ke atas ESSZONE akan kekal sampai bila-bila. Maka implikasi kos, aset, tenaga dan sebagainya ditumpukan ke sana. Ini memberi kesan kepada kerajaan dan juga kawasan-kawasan lain.

Jika berlaku di Sarawak pula, Ordinan tahun 1963 pula digunakan. Manakala, sekiranya “Kawasan Keselamatan” diisytiharkan di Semenanjung Malaysia, Akta POPA 1958 pula digunakan.

Sekiranya terjadi di beberapa tempat di kawasan tersebut, maka ketiga-tiga Ordinan ini akan mewujudkan zon-zon yang berkekalan dan implikasi kewangan dan aset akan menjadi beban kepada kerajaan.

Saya perlu mengulangi dan menegaskan semula bahawa “Kawasan Keselamatan” di bawah RUU ini hanya kekal untuk 6 bulan sahaja dan wajib dibawa ke sesi Dewan Rakyat untuk dibahas. Jika Dewan Rakyat tidak setuju untuk mengekalkannya, maka ianya boleh mansuh. Kalau hendak disambung, itu terpulang kepada perbahasan dan pandangan Dewan Rakyat.

Lagipun, pengisytiharan “Kawasan Keselamatan” dibuat secara kolektif dan konsensus oleh 8 ahli Majlis Keselamatan Negara. 8 ahli itu pula mendapat maklumat daripada agensi keselamatan, operasi, special branch, dan lain-lain bahagian di bawah kuasa masing-masing. Perkara ini sangat-sangat jelas di dalam RUU MKN.

RUU MKN juga sebenarnya mewujudkan “check and balance” melibatkan ketiga-tiga cabang iaitu kehakiman, legislatif dan eksekutif. Tidak ada isu mengenai kuasa mutlak atau merampas kuasa Yang Dipertuan Agong (YDPA), Ketua Polis Negara (IGP) dan Panglima Angkatan Tentera (PAT). Perkara itu hanya ilusi, pandangan dan persepsi tidak benar kerana mereka melihat dari jendela luar.

Mereka sudah pasti mengetahui bahawa RUU MKN ini boleh dicabar ke mahkamah jika mana-mana individu atau mana-mana operasi melanggar apa-apa peruntukan undang-undang yang disebut di dalam Perlembagaan.

Status “Kawasan Keselamatan” ini tetap dibawa ke sesi Dewan Rakyat untuk dibahaskan dari segi keperluan samada perlu disambung atau tidak. Seandainya wakil-wakil rakyat berpendapat kawasan tersebut sudah selamat maka status “Kawasan Keselamatan” boleh dimansuhkan. Samalah juga dengan isu koroner, kuasa khas dan lain-lain.

Jadi, isu sebenarnya ialah serupa sahaja dengan kes Paris dan Lahad Datu. Hanyasanya, kerajaan bertindak awal yakni mencegah awal adalah lebih baik.

MENJAWAB PENGKRITIK.

Oleh yang demikian, jika kita hendak menjawab tiap-tiap fasal, satu demi satu sebagaimana pembangkang membuat interpretasi melalui analogi sendiri, saya percaya ianya tidak akan selesai. Mereka hanya akan menyesal apabila kejadian Paris berlaku di Malaysia.

Saya percaya pegawai-pegawai PDRM, ATM dan agensi keselamatan lain yang sudah biasa menghadiri mesyuarat jawatankuasa keselamatan negara di bawah mana-mana Arahan MKN, mereka faham sebenarnya itulah juga RUU MKN.

Saya juga percaya Peguam Negara tidak akan membuat RUU MKN ini jika ianya bertentangan atau mengambilalih kuasa-kuasa khas yang sudah dimiliki oleh YDPA, IGP dan PAT.

Saya juga percaya RUU MKN tidak akan melampui Perkara 150 Perlembagaan negara kita.

Sebenarnya, RUU MKN adalah suatu usaha murni untuk memperkukuhkan MKN secara legal kerana pada masa kini MKN tidak memiliki punca kuasa selepas pemansuhan Ordinan Darurat pada tahun 2011. Selama ini, MKN menjalankan tugasnya secara eksekutif dan pentadbiran atas keputusan Jemaah Menteri sejak tahun 1971.

Malahan, pembentukan pasukan, gerak kerja, SOP, arahan-arahan MKN tidak ada beza dalam keadaan sekarang di mana ianya masih berfungsi secara pentadbiran eksekutif dan tidak ada perbezaan besar apabila RUU MKN dikuatkuasakan kelak. Dalam bahasa mudah, PAT dn IGP atau Ketua Setiausaha Kementerian atau Ketua Pengarah malah YDPA sekalipun tidak akan hilang kuasa.

Lebih mudah faham ialah Akta MKN dahulu dengan RUU MKN kelak tidak akan mengubah apa-apa amalan sekarang. Mana-mana Arahan MKN atau Arahan Gerakan yang sedia adalah untuk menyelaraskan mana-mana agensi/jabatan/kementerian sahaja. Tidak ada langsung isu hilang kuasa. Itu yang dimaksudkan dengan Fasal 5 di dalam RUU MKN.

TERIMA KASIH.

Kita berterimakasih kepada Perdana Menteri dan Kerajaan kerana melalui MKN telah melaksanakan evakuasi pelajar di Mesir, Yaman, Libya, Syria dan lain-lain negara yang bergolak.

Keutamaan MKN ialah keselamatan rakyat dijaga sehabis boleh walau di mana jua. Segala kesukaran pasukan evakuasi menggadai nyawa untuk menyelamatkan pelajar /rakyat Malaysia adalah satu cara bagaimana MKN berjaya menyelaraskan agensi-agensi keselamatan negara. Bukannya mengambilalih kuasa mereka pun!

Samalah jua dengan RUU MKN di mana kita mesti memberi sokongan dalam isu keselamatan rakyat Malaysia walau di mana berada tanpa mengira ideologi politik, anutan agama dan warna kulit.

Bacalah semula RUU MKN, anda tidak akan berjumpa satu klausa pun berkaitan Perdana Menteri berkuasa mutlak dan anda juga tidak akan bertemu satu pun klausa kononnya kuasa YDPA dirampas.

Apa yang berlaku sebenarnya ialah Tafsiran tidak tepat oleh sesetengah pihak. Tafsiran ada pelbagai terpulang kepada niat mereka untuk melihat kepada kebaikan atau keburukan. Bagi kerajaan, keutamaan kerajaan ialah mengutamakan keselamatan rakyat!

KESIMPULAN.

Ketahuilah bahawa, isu-isu keselamatan adalah semakin dinamik termasuklah isu nuklear, extremis, anthrax dan sebagainya yang memerlukan tindakan penyelarasan yang licin bagi mengelakkan kecelakaan kepada rakyat.

Sejak 59 tahun negara kita merdeka, kerajaan sentiasa berusaha meningkatkan keselamatan rakyat dan negara. Namun begitu, sebagai manusia di mana-mana jua kita tidak boleh memandang rendah kemampuan musuh. Tidak bermakna apabila kita sudah bersedia, musuh boleh dihalang dan dihapuskan.

Lihatlah negara Amerika Syarikat dan Perancis yang sangat maju dalam bidang ketenteraan dan keselamatan. Namun begitu, mereka sendiri gagal menghalang ancaman pengganas. Maka itulah kita berwaspada.

Dua artikel ini sangat berkaitan, http://www.al-azharrisiddiq.com/2015/12/menjawab-cemuhan-ke-atas-rang-undang.html dan http://www.al-azharrisiddiq.com/2015/12/nytakan-di-mana-di-dalam-ruu-mkn.html

Oleh Al Azharri Siddiq,
http://www.al-azharrisiddiq.com/2015/12/ruu-mkn-menjawab-isu-merampas-kuasa.html