Sahkan Pertemuan Dengan Penderma RM2.6 Billion Dari Timur Tengah & Wang Tersebut Bukan Dari 1MDB, Adakah PAKATAN Akan Menuduh SPRM Menipu?

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengesahkan yang ia telah menghantar satu pasukan penyiasat ke Timur Tengah untuk berjumpa dengan penderma RM2.6 bilion yang penuh kontroversi itu. Pengarah Siasatan SPRM Datuk Azam Bakri berkata pertemuan dengan penderma tersebut telah diadakan baru-baru ini. Walau bagaimanapun, Azam tidak mendedahkan sebarang maklumat mengenai pertemuan itu,kerana siasatan yang masih berjalan.

“Siasatan kes ini masih berjalan. Sebaik sahaja kita selesaikan siasatan, kami akan menyerahkan kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya yang akan menentukan hala tuju tindakan yang seterusnya. Sukacita saya ingin menjelaskan yang SPRM akan terus memaklumkan perkembangan kes ini kepada orang awam dari masa ke semasa, seperti yang telah dijanjikan. Walau bagaimanapun, perlu difahami kami tidak boleh mendedahkan keputusan siasatan begitu sahaja,” ujar beliau.

Azam juga berkata beliau juga akan menyiasat kebocoran maklumat di media sosial berkenaan pemergian pegawai beliau ke Timur Tengah.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah memberitahu Dewan Rakyat pada 3 Disember yang SPRM telah pun mengenalpasti penderma RM2.6 bilion tersebut dan Bank Negara telah dimaklumkan mengenai akaun tersebut. Beliau juga berkata, SPRM telah mengesahkan yang wang tersebut tidak berasal dari 1MDB.

Telah dilaporkan pada Ahad lepas yang SPRM telah merekodkan kenyataan dari Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkenaan dengan isu yang melibatkan SRC International dan derma politik RM2.6 bilion.
http://www.nst.com.my/news/2015/12/116016/macc-admits-weve-met-donor-rm26bil



Maka, inilah dia. SPRM telah pun mengesahkan apa yang kita telah ketahui selama ini – yang RM2.6 bilion adalah derma dari Timur Tengah dan bukan disonglap dari 1MDB seperti yang didakwa oleh Tun Mahathir.

Dr Mahathir berkata yang beliau tidak mempercayai yang wang tersebut adalah derma dari Timur Tengah kerana menurut beliau, orang Arab tidaklah sebegitu pemurah. Sebenarnya, Saudi sendiri telah menderma USD150 bilion sejak 30 tahun lepas untuk tujuan politik dan untuk menyokong pelbagai usaha lain.

Dan ini hanya melibatkan Saudi dan bukan Libya ketika dipimpin Muammar Gaddafi – yang juga mendermakan banyak wang, malah melibatkan parti politik Malaysia – atau negara lain seperti UAE. Malah, negara OIC juga telah mendermakan sejumlah wang untuk menubuhkan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Gombak.

Maka untuk mereka menderma RM2.6 bilion kepada PM Najib sebagai dana politik bukanlah isu yang besar.

Walau bagaimanapun, puak anti-Najib sedang cuba untuk menampakkan ia sebagai isu yang besar dan mendakwa wang tersebut dirompak dari 1MDB.

Syed Akbar Ali a.k.a OutSyed The Box berkata isu 1MDB dan derma RM2.6 bilion tidak akan dibincangkan ketika perhimpunan agung UMNO, yang akan bermula esok. Beliau dan ramai lagi merasakan isu ini patut dibincangkan di perhimpunan tersebut.

Apa yang mereka mahu perhimpunan bincangkan? Adakah mereka mahu bincangkan perkara yang sudah diketahui sejak awal tahun ini lagi bahawa wang tersebut bukan dari 1MDB tetapi sememangnya derma dari Timur Tengah?

Adakah mereka mahu membincangkan yang sebelum Zahid dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, beliau telah pun melihat bukti apabila beliau berjumpa dengan penderma Timur Tengah tersebut yang mengesahkan dirinya sebagai penderma RM2.6 bilion?

Adakah mereka mahu membincangkan yang Dr Mahathir, Muhyiddin Yassin dan Shafie Apdal tahu yang wang tersebut adalah derma dan tidak dirompak tetapi mereka berpura-pura berkata yang mereka tidak menyedari akan perkaar ini dan terus membangkitkannya dan berkata wang tersebut dirompak, dan bukan derma.

Mungkin Dr Mahathir, Muhyiddin Yassin, Shafie Apdal mahu Najib membiayai perjalanan mereka ke Timur Tengah supaya mereka juga boleh berjumpa dengan penderma tersebut dan melihat bukti berkaitan dengan derma ini dan bersembang dengan penderma RM2.6 bilion tersebut.

Mereka mahu Najib ke parlimen menjelaskan isu RM2.6 bilion. Mereka mahu Najib membangkitkan isu ini di perhimpunan UMNO. Jika Najib benar-benar melakukannya, adalah mereka akan percaya?

Najib sudah banyak kali bercakap mengenai 1MDB dan perkara lain tetapi masih lagi orang tidak mempercayai beliau. Mereka kata Najib menipu. Jadi mengapa mereka perlu mempercayai apa yang Najib akan katakan mengenai RM2.6 bilion itu? Mereka tetap berkeras yang Najib menipu.

Mereka berkeras mahukan perkara itu disiasat. Maka SPRM pun siasat. Dan SPRM berkata RM2.6 bilion itu tidak disonglap dari 1MDB, dan ianya derma dari Timur Tengah. Bukan Najib yang cakap ni. Ini SPRM yang cakap.

Pakatan Harapan memuji SPRM. Pemimpin Pembangkang melawat pejabat SPRM dan bergambar dengan pegawai SPRM. Pembangkang memuji SPRM kerana melaksanakan tugas dengan baik. Jadi adakah pembangkang akan menuduh SPRM menipu, telah dibeli atau adakah mereka akan dipanggil beruk seperti yang suka disebut Syed Akbar?

Bila diam marah. Bila jawab kata bohong. Apa lagi mahu? Mahu free trip ke Arab Saudi ke?

Oleh Raja Petra Kamarudin,
http://www.malaysia-today.net/so-the-rm2-6-billion-was-a-donation-from-the-middle-east-after-all/