TPPA: Perbandingan Artikel Tun Mahathir & Penjualan Kereta Proton Ke Amerika Syarikat

Saya tertarik untuk memberi pencerahan kepada artikel Tun Dr Mahathir berkenaan TPPA. Kebetulan saya baru selesai menghadiri Forum Ekonomi di Rochester University, New York di sini.

Pertama, Perjanjian TPPA; tidak benar bahawa sesebuah syarikat asing atau negara asing boleh menyaman negara kita. Salah satu perkara yang menjadi Keutamaan Kerajaan dalam Perjanjian TPPA ialah Kedaulatan Undang-Undang di negara kita tidak boleh diganggu-gugat oleh mana-mana pihak. Itu adalah salahsatu yang dipertahankan oleh Kerajaan Malaysia. Dalam hal ini, Kerajaan tidak berkompromi dengan mana-mana pihak dalam usaha menjaga hak dan Kedaulatan rakyat dan Kedaulatan Undang-Undang negara kita.

Anda perlu membaca Teks TPPA sebelum memberi komen yang tidak adil. Segelintir di kalangan rakyat Malaysia belum membaca Teks TPPA menyebabkan mereka memberi Ulasan yang tidak tepat malah tidak benar.

Sebab itulah Kerajaan mengambil keputusan menyertai awal “Rundingan” TPPA supaya Kerajaan berpeluang menyatakan “Ya” kepada item yang menguntungkan rakyat dan negara. Manakala Kerajaan boleh berkata “Tidak” kepada item yang merugikan rakyat dan negara.

Sebaliknya, jika Malaysia menyertai TPPA selepas TPPA dimeterai dan digazetkan, Malaysia akan mengalami kerugian kerana terpaksa bersetuju dengan perkara yang telah dipersetujui oleh negara-negara pengasas TPPA. Namun begitu, dalam hal ini, Malaysia adalah sebahagian daripada pembuat dasar yang berpeluang untuk memastikan Perjanjian-Perjanjian di dalam TPPA itu membawa keuntungan kepada rakyat Malaysia.

Kedua, kedatangan Presiden Obama tidak ada kaitan dengan persetujuan kerajaan samada menerima atau tidak, menolak atau menangguhkan Perjanjian TPPA itu. Jika pun Perjanjian TPPA itu ditandatangani samada pada Februari atau Mac 2016, tidak bermakna ianya boleh dilaksanakan.

Sebaliknya, selepas Perjanjian TPPA itu ditandatangani ianya akan dibawa semula ke negara masing-masing untuk dibahaskan di dalam parlimen masing-masing. Dalam konteks Amerika Syarikat sendiri, ianya Akan dibawa ke Kongres untuk dibahaskan.

Sekiranya Parlimen bersetuju maka ianya akan dilaksanakan sekurang-kurangnya dua tahun selepas Perjanjian TPPA ditandatangani (iaitu sekarang-kurangnya pada tahun 2018). Dalam konteks Malaysia, sekiranya Parlimen Malaysia menolak maka ianya tidak akan dilaksanakan di Malaysia.

PROTON DIJUAL DI AMERIKA SYARIKAT.

Dalam isu TPPA ini, beberapa negara baharu seperti Indonesia turut menyatakan minat untuk menyertai TPPA. Mengapa? Isunya ialah Malaysia tidak boleh melepaskan peluang ini kerana ekonomi Dunia hari ini sangat terbuka. Jika Malaysia hanya berharap kepada ASEAN AFTA sahaja, atau pun bergantung kepada FTA antara satu-satu negara sahaja, kita akan ketinggalan. Malaysia dengan 30 juta penduduk bukan satu pasaran yang besar. ASEAN AFTA benar suatu pasaran yang besar tetapi ianya masih tidak mencukupi kepada Malaysia. Malaysia perlu melibatkan diri dalam FTA yang lebih besar dan salahsatu FTA itu adalah TPPA.

Contohnya, kereta nasional Proton memerlukan pasaran baharu yang lebih besar. Proton tidak boleh selamanya hanya bergantung kepada pasaran tempatan sahaja, juga tidak bijak jika hanya bergantung kepada pasaran ASEAN sahaja (terutama Indonesia). Dengan perjanjian TPPA ini, Proton boleh dijual di negara-negara TPPA termasuk di Amerika Syarikat melalui perjanjian-perjanjian yang tidak berat sebelah. Jika Hyundai, Nissan, Toyota dan Honda boleh memasuki pasaran Amerika Syarikat. Saya tidak percaya Proton Preve yang sangat laris di Australia tidak boleh dijual di Amerika Syarikat selepas TPPA!

Jika minuman Milo, biskut Hap Seng, Jelly fruit, Nescafé, Teh Tarik, roti canai, biskut Julie dan banyak lagi boleh dijual di Amerika Syarikat, saya melihat melalui TPPA kereta nasional Proton boleh memasuki pasaran Amerika Syarikat dengan lebih mudah. Kita hanya perlu bekerja lebih sedikit sahaja dan memenangi perjanjian dengan bijaksana.

Bersambung (isu Undang-Undang, isu penjajahan Ekonomi, benefit kepada kontraktor kelas F dan skim perlindungan oleh Kerajaan kepada bisnesman Malaysia).

Al-Azharri Siddiq,
Rochester, Amerika Syarikat.
November 22, 2015.
http://www.al-azharrisiddiq.com/2015/11/tppa-perbandingan-dengan-artikel-tun-dr.html