Yuran Pengajian Universiti Tidak Akan Dinaikkan

Kerajaan memberi jaminan yuran pengajian universiti awam tidak akan dinaikkan walaupun dana kepada institusi pengajian itu dikurangkan dalam Bajet 2016.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, beliau percaya pihak pentadbiran universiti awam mampu mendapatkan sumber kewangan sendiri bagi menampung pengurusan kewangan mereka.

“Tidak ada kenaikan yuran (pengajian) kepada para pelajar universiti kerana kita tahu kesukaran mereka,” katanya dalam Persidangan Kepemimpinan Mahasiswa Nasional 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Idris berkata, langkah kerajaan mengurangkan pemberian dana kepada universiti awam adalah untuk mengurangkan kebergantungan universiti terhadap kerajaan bagi membentuk sistem pendidikan yang mampan dalam jangka masa panjang.

“Ini kerana kadar kebergantungan universiti awam terhadap kerajaan adalah pada kadar 75 hingga 90 peratus berbeza dengan negara maju pada kadar 40 peratus,” jelasnya.

Sementara itu, Idris turut membidas segelintir pihak terutama pembangkang yang cuba memperdayakan rakyat dalam isu pemberian pendidikan percuma.

Beliau berkata, isu tersebut tidak wajar dimainkan kerana negara-negara maju yang memberikan pendidikan percuma mengenakan kadar cukai tinggi kepada rakyat hingga 50 peratus berban­ding Malaysia yang hanya mengenakan cukai sebanyak 24 peratus.

“Ada pihak yang memban­dingkan negara ini dengan negara-negara maju lain seperti negara Scandinavia yang memberikan pendidikan percuma kerana negara tersebut mengenakan kadar cukai yang tinggi.

“Cukai kita hanya 24 peratus berbanding cukai mereka yang lebih 50 peratus. Jadi, jangan cuba tabur fitnah dan memperdayakan rakyat dan pelajar dalam isu ini,” katanya.