Cadangan Gabungan Ketua Cawangan Umno Malaysia Jahil Peraturan Parti Sendiri

Cadangan Gabungan Ketua Cawangan Umno Malaysia (GKCM) supaya tindakan disiplin dikenakan ke atas ketua-ketua bahagian yang menyatakan pendirian ‘hilang keyakinan’ terhadap kepimpinan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir adalah tidak masuk akal dan menunjukkan kedangkalan pemahaman mereka mengenai peraturan parti.

Pengerusinya, Kamarulazman Habibur Rahman berkata Malaysiakini.com bahawa sembilan ketua cawangan Umno Teluk Kemang digantung hak ahli Umno selama enam tahun kerana mendesak presiden parti Datuk Seri Najib Razak berundur.

Namun apa yang Kamarulzaman tidak faham ialah beza antara jawatan Presiden UMNO dengan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri.

Usaha menjatuhkan Presiden UMNO tidak mengikut saluran Perlembagaan parti adalah salah kerana Presiden dipilih oleh ahli UMNO. Presiden juga merupakan ketua kepada sebuah parti. Maka serangan terhadap beliau merupakan serangan terhadap parti.T

Presiden boleh ditegur dan dikritik. Namun sekiranya anda menjalankan gerakan menghasut ahli membenci Presiden parti yang dipilih secara sah oleh ahli supaya dijatuhkan, maka ia merupakan satu pelanggaran tata etika parti.

Sebaliknya, jawatan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri dan Menteri Besar adalah jawatan lantikan yang bila-bila masa boleh ditukar oleh mereka yang mempunyai kuasa melantik.

Justeru tidak timbul isu disiplin atau etika parti apabila Ketua-Ketua UMNO bahagian membuat sidang akhbar meminta perubahan pentadbiran UMNO negeri kerana ia jawatan lantikan dan mereka sebahagian daripada Jawatankuasa Perhubungan UMNO Negeri.

Ketua-ketua cawangan jika mahu menjatuhkan Presiden UMNO perlu menggunakan fasal dalam Perlembagaan kerana ia jawatan melalui pemilihan. Yang menjadi salah dari segi disiplin parti apabila mereka menganjurkan pelbagai majlis untuk menjatuhkan Presiden secara tidak mengikut Perlembagaan parti.

Justeru angan samakan tindakan beberapa kerat Ketua Cawangan melalak untuk minta Presiden Najib Razak berundur, dengan kenyataan Ketua-Ketua UMNO Bahagian meminta Ketua Perhubungan UMNO Negeri ditukar.

Lagipun sudah ada “Hadis Sahih” semasa pentadbiran Tunku Abdul Rahman dan Tun Mahathir Mohamad bahawa mengkritik Presiden secara berterusan dengan bertujuan menjatuhkan secara tidak sah adalah salah.

UMNO memecat Dr Mahathir apabila beliau menyebarkan kepada umum kritikannya ke atas Presiden UMNO (Tunku Abdul Rahman).

UMNO zaman Tun Mahathir memecat Anwar Ibrahim apabila beliau memilih menentang pemecatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri. UMNO juga menggantung ramai ahli apabila mengkritik kepimpinan secara berlebihan pada zaman Mahathir.

Namun sejak pada zaman Mahathir juga tiada tindakan diambil ke atas mereka yang mendesak perletakan jawatan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri dan Menteri Besar atau Ketua Menteri. Ini kerana jawatan-jawatan tersebut jawatan lantikan yang boleh ditukar pada bila-bila masa.

Meminta ditukarkan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri atau Menteri Besar tidak sama dengan menjalankan gerakan memburuk dan menjatuhkan Presiden parti. Kedua-dua jawatan tersebut mempunyai hirarki dan peranan yang berbeza.

Sumber: http://www.mykmu.net/2016/01/59490/