DAP Tuduh PAS Terima Ajaran Islam Yang Tidak Betul

DAP menuduh pemimpin PAS tidak menerima ajaran Islam yang tepat oleh guru-guru mereka kerana tidak menunjukkan akhlak seperti seorang ahli agama yang sewajarnya.

Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua mendakwa, pemimpin PAS menonjolkan sikap bukan ahli agama kerana masih mendabik dada walaupun selepas mengakui memfitnah Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

“Jelas dah mengaku membuat tuduhan tanpa asas.Katanya dah kesal dan tarik balik. Kena bayar kos lagi kepada Ketua Menteri Pulau Pinang (Guan Eng).

“Tapi selepas tu, mendabik dada antara pemimpin PAS. Dah fitnah orang, tak menunjuk perasaan kesal langsung, tapi mengucap tahniah pula. Akhlak dan tabiat sebegini, ada ikut agama ke? Siapa yang ajar?” katanya melalui laman Facebook beliau semalam.

Kenyataan Tony Pua memperlekehkan tahap agama pemimpin PAS itu turut dikongsi oleh pemimpin Melayu DAP, Dyana Sofya Mohd. Daud di laman Facebook beliau hari ini.

Ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz semalam memuji ketegasan Ketua Penerangan parti itu, Nasrudin Hassan Tantawi dalam berhadapan saman fitnah oleh Guan Eng selaku Ketua Menteri Pulau Pinang.

Kata Nik Mohamad Abduh, Nasrudin telah bertindak tegas dengan tidak memohon maaf dan menarik balik artikelnya yang mendedahkan kepincangan ketidaktelusan kerajaan DAP Pulau Pinang pada tahun 2014.

Nasrudin semalam mendedahkan Guan Eng terpaksa membuat tawaran sebanyak dua kali kepada beliau supaya kes saman fitnah membabitkan isu ‘Penang Tunnel’ tidak diteruskan di mahkamah.

Tawaran pertama, kes diselesaikan di luar mahkamah dengan permohonan maaf oleh Nasrudin dan penarikan balik artikel berkenaan tetapi Nasrudin enggan memohon maaf.

Tawaran kedua oleh Guan Eng supaya kes diselesaikan di luar mahkamah bagaimanapun diterima oleh Nasrudin kerana tidak perlu memohon maaf dan menarik balik artikel berkenaan.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang mahu menyaman Nasrudin kerana mendakwa pemimpin PAS itu memfitnah beliau berhubung isu projek terowong dasar laut dilakukan secara rundingan terus.

Bagaimanapun, beliau membuat keputusan untuk menyelesaikan perkara itu di luar mahkamah atas sebab-sebab tertentu.