Fitnah Tilam Buruk Asrama Sekolah Di Sabah, PKR Gagal Hasut Rakyat Sabah

Pada hari pertama musim persekolahan tahun ini, viral diperkatakan di Sabah mengenai isu ’tilam buruk’ di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Tulid di laman-laman sosial. Kononnya pelajar di sekolah berkenaan dizalimi kerana disediakan tilam buruk untuk mereka tidur.

Menurut sumber penulis, gambar berkenaan mula tersebar di laman sosial berpunca dari salah faham ibu bapa pelajar yang menghantar anak mereka ke sekolah berkenaan dan dikatakan terkejut dengan keadaan tilam dan kelengkapan pelajar di dalam salah sebuah bilik di asrama sekolah itu.

Tanpa berfikir panjang atau bertanya pada pihak pengurusan asrama, ada di kalangan mereka yang mula memanjangkan gambar itu di media sosial. Gambar-gambar berkenaan kemudian tiba ditangan seorang budak PKR Sabah, Adrian Lim.

Menurut sumber, dari Adrianlah maka bermulanya gambar-gambar tilam buruk itu menjadi viral di laman sosial kemudiannya. Bila dapat ditangan ‘anak buah’ Rafizi, maka bagaikan ‘pucuk dicita ulam mendatang’, habis dikecohnya…

Sebenarnya, tilam baru ada di sekolah berkenaan. Tilam-tilam buruk yang dirakam itu sebenarnya adalah tilam yang sengaja dihimpunkan di dalam sebuah bilik asrama sebelum dilupuskan kemudiannya.

Pada 3 Januari, ketika mana ibu bapa menghantar anak mereka ke asrama berkenaan, warden asrama sedang bertugas mendaftar pelajar manakala pengawas telah membuka semua bilik termasuk bilik tilam buruk itu.

Tersalah faham dengan tilam buruk dan keadaan bilik yang sebenarnya belum tersedia untuk digunakan pelajar, maka tercetuslah salah faham berkenaan.

Apa yang menghairan penulis, budaya di Sabah sememangnya sebelum ini tidak suka bising-bising tentang sesuatu yang belum diketahui kebenarannya. Mereka sebelum ini cukup berhati-hati dan menjaga kesahihan maklumat sebelum disuarakan.

Tapi apa sudah jadi kali ini? Terlintas difikiran penulis betapa PKR telah berjaya mengimplan budaya negatif di negeri di bawah bayu itu. Sebagai contoh Adrian Lim, mungkin dengan didikan Rafizi dan Fahmi Zainol, dia begitu cekap menyebar fitnah sebelum ditentukan kesahihannya.

Berbeza dengan budaya di Sabah sebelum ini, mereka selalunya akan bertanya pada pihak terbabit terlebih dahulu, berbincang mengenainya dan membuat penyelesaian secara baik. Sekiranya tidak berpuas hati, maka barulah ia disuarakan ke peringkat yang lebih tinggi.

Apapun, penulis ucapkan tahniah kepada PKR kerana telah berjaya mengubah budaya positif rakyat Sabah kepada sikap negatif dan melulu. Betul atau tidak betul, belakang kira, asalkan puas memburuk-burukkan pihak tertentu?

Cuma satu saja yang menjadi persoalan kini. Budaya orang Sabah, sekiranya mereka sedar tersilap, salah atau tersalah faham, mereka selalunya akan lekas memohon maaf. Jadi, kita tunggu saja bila Adrian akan minta maaf pada SMK Tulid, rakyat Sabah dan Kementerian Pendidikan Malaysia sendiri.

Jika dia minta maaf, maka jelaslah budaya sedar dari kesilapan yang dimiliki orang Sabah sebelum ini belum berubah. Jika tidak, maka dapatlah kita simpulkan bahawa PKR telah berjaya mengimport budaya negatif mereka ke negeri berkenaan, kan?

Sumber: http://www.mykmu.net/2016/01/pkr-berjaya-pengaruh-rakyat-sabah-amal-budaya-fitnah/