Guru Melayu Diserang Ultra Kiasu Tutup Mata, Kalau Guru Cina Yang Diserang Pula Bagaimana?

Insiden seorang guru Melayu, yang bertugas di sebuah SJKC di Mersing, yang ‘diserang’ oleh bapa murid ultra kiasu patut membuka mata semua. Walaupun insiden ini dikatakan bukan isu perkauman, sorotan ceritanya tidak menampakkan sedemikian. Kasihan guru Melayu tersebut. Bayangkan jika guru Cina diperlakukan sedemikian di sekolah kebangsaan.

Bila kena pada kita, cepat-cepat kata itu bukan isu perkauman, minta disenyapkan. Namun, bila kena pada mereka, kata kita rasis belaka, diulang-ulang sentiasa dalam akhbar mereka. Seolah-olah kitalah paling rasis.

Apakah ia tidak rasis, apabila guru besar ultra kiasu tersebut meminta guru berkenaan meletakkan jawatan dan meminta Pejabat Pendidikan Daerah supaya memindahkan guru berbangsa Melayu daripada berada di sana. Alasannya, guru Melayu tidak layak mengajar di sekolah Cina. Tidak kompeten, malas dan tidak memberi kerjasama.

Saya tidak menuduh semua SJKC sebegitu, tetapi bagi sesiapa yang mengkaji dan mengikut perkembangan SJKC, persepsi sebegini memang suatu yang lumrah dalam kalangan mereka yang ultra kiasu.

Saya amat mengharapkan Kementerian Pendidikan (KPM) supaya bertegas. Jangan berpolitik lagi kerana undi. Pertama, keadaan ini akan meracuni pemikiran murid menjadi rasis. Guru Melayu yang ditindas sepatutnya dikekalkan, bukan ditukar.

Kedua, kembalikan semula sekolah bantuan modal seperti dahulu. Setakat ini, kerajaan memberi layanan yang sama kepada semua sekolah walaupun tidak mendaulatkan agenda kebangsaan. Nasib Sekolah Agama Rakyat pula tidak menentu.

Ketiga, pengecualian GST terhadap empat buah Sekolah Persendirian Cina baru-baru ini, hendaklah difikirkan semula. Percayalah. Berilah sebanyak mana pun kemudahan, undi mereka tetap kepada ultra kiasu. Jangan haraplah mereka akan mengundi BN.

Keempat, kerajaan tidak boleh lagi tunduk kepada tekanan parti politik dan NGO ultra kiasu. Sepatutnya, ultra kiasu yang tunduk kepada syarat kerajaan. Misalnya, guru bukan Cina yang mengajar di SJKC mesti boleh berbahasa Cina dan mendapat kredit dalam mata pelajaran tersebut di peringkat SPM.

Mata pelajaran Sejarah yang pada awal arahan kementerian diajar dalam bahasa Melayu, akhirnya terpaksa tunduk diajar dalam bahasa ibunda. Itu pun mereka tidak puas hati. Mereka telah hantar memorandum supaya kerajaan mengubah silibus Sejarah tersebut, kerana terlalu bersifat ‘kemelayuan’ apabila menceritakan tentang sejarah kemerdekaan. Hampir 100 ‘kesalahan’ dikenal pasti. Mereka juga mahukan pemimpin mereka turut diiktiraf sebagai pejuang kemerdekaan. Siapakah yang paling ramai terkorban menentang British? Apakah komunis itu pejuang kemerdekaan?

Kelima, dalam memperkasakan agenda negara, pendidikan adalah asas. Kerajaan mesti bertegas, seperti yang pernah dilakukan oleh Kerajaan Thailand dan Indonesia demi pembangunan negara bangsa. Hanya ada sekolah satu sistem.

SJKC yang dibina dan dibantu oleh kerajaan sepenuhnya hendaklah ditukar statusnya menjadi Sekolah Wawasan. Benar, buat masa ini Sekolah Wawasan yang menempatkan semua sekolah di bawah satu bumbung, tidak mendapat sambutan ultra kiasu. Atas alasan, jika banyak bercampur dengan Melayu, maka hilanglah penguasaan bahasa Cina mereka.

Keenam, pembinaan sekolah vernakular yang sentiasa bertambah dari setahun ke setahun perlu difikirkan semula. SJKC yang muridnya kurang dari 100 hendaklah ditutup.

Ketujuh, kelas peralihan yang wujud sehingga ke hari ini hendaklah dihapuskan. Mereka yang gagal BM hendaklah dihantar ke kem pemulihan bahasa selama dua tahun. DBP boleh diamanahkan tugas tersebut.

Kelapan, sijil UEC tidak boleh diiktiraf selagi kurikulumnya tidak mematuhi kehendak KPM.

Kesembilan, jangan biarkan Pakatan Harapan menang dalam PRU yang akan datang kerana lubuk ultra kiasu adalah di sana. Jika mereka menang, semua yang dibincangkan di atas akan terkubur.

Kesepuluh, siasatan juga hendaklah dibuat di SJKC yang lain. Tempatkan lebih ramai guru-guru Melayu di sana, supaya anak-anak mereka dapat dibimbing?

Kesebelas, jika sekolah kebangsaan boleh menerima guru besar (pengetua) bukan Melayu, kenapa SJKC tidak boleh menerima guru besar Melayu? Sekolah mana lebih rasis?

Akhirnya, sedarkan rakan sebangsaku, bahawa kerajaan (orang Melayu) sudah terlalu banyak bertoleransi kepada sekolah vernakular yang tidak pernah ada dalam dunia ini kecuali Malaysia. Masih tidak cukupkah lagi? Belajarlah bersyukur.

Oleh Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah,
Felo Utama, INSPIRE dan pensyarah PPI, UniSZA
http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/ridhuan-tee-abdullah/sekolah-mana-lebih-rasis-1.476958