Hak Paten Tidak Akan Menjadi Punca Kepada Kos Kenaikan Harga Ubat.

Tan Sri Rafidah Aziz hari ini menolak paten bagi ubat-ubatan yang dimuktamadkan dalam Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) akan menjadi punca kepada kenaikan kos perubatan dalam sektor farmaseutikal.

Bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu berkata, terdapat faktor lain yang turut menjadi punca kepada kenaikan harga ubat, termasuk daripada segi pengeluaran dan penjenamaan.

Malah, beliau juga menjangkakan, harga ubat tidak akan terus kekal naik dan rakyat bakal menikmati harga lebih rendah berdasarkan permintaan dan bekalan dalam pasaran.

“Hak paten tidak akan menjadi punca kepada kos kenaikan harga ubat. Ada faktor lain juga.

“Tetapi, lama kelamaan harga akan turun. Ia berdasarkan permintaan dan bekalan. Kerana itu, kita lihat bagaimana dulu,” katanya kepada pemberita di PWTC, Kuala Lumpur hari ini.

Selain pembangkang, Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) mendakwa perjanjian TPPA menyaksikan kenaikan harga ubat-ubatan antara 60% dan 80% lebih tinggi berbanding ketika ini.

Manakala, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) pula berkata penekanan hak harta intelek hanya akan memberi keuntungan kepada syarikat gergasi kerana melarang pengedaran ubat generik iaitu ubat lebih murah yang mempunyai kandungan serta kesan sama dengan ubatan asli.

Mengulas dakwaan mengenai kenaikan harga ubat ekoran pelaksanaan TTPA, beliau berkata perkara tersebut dilihat sebagai berkepentingan negara dan tidak harus menjadi isu politik.

Rafidah berkata, meskipun ada sesetengah pihak yang mempunyai pandangan berbeza, namun mereka tidak harus menafikan TPPA mempunyai kepentingan terhadap negara.

“Janganlah politikkan apa sahaja perkara mengenai kepentingan negara. Kepentingan negara benda yang patut kita utamakan.

“Tidak kira apa perkara itu, kita harus teruskan juga meskipun kita di pihak berbeza,” katanya.

Malah, beliau mengakui sudah meneliti kesemua bentuk tawaran dan permintaan dalam perjanjian tersebut.

“Secara peribadinya saya amat gembira kerana kita dapat apa yang kita mahukan termasuk akses pasaran, pengecualian dan sebagainya.

“Dengan kata lain, TPPA memberi manfaat kepada kita lebih daripada apa yang diambil,” katanya.

Beliau juga menafikan dakwaan kononnya perjanjian TPPA akan menjejaskan syarikat tempatan khususnya Bumiputera yang terpaksa bersaing dengan syarikat antarabangsa.

Bekas ketua Wanita Umno itu berkata, sekiranya kerajaan meneruskan dengan perjanjian tersebut, maka ia akan secara rasmi berkuat kuasa pada 2018.

Ini bermakna katanya, syarikat yang terlibat mempunyai tempoh selama 2 tahun untuk melakukan persiapan.

“Pelaksanaannya akan ambil masa 2 tahun selepas ditandatangani.

“Jadi mana-mana syarikat yang bimbang untuk berdepan dengan persaingan, mempunyai 2 tahun untuk menambah baik syarikat mereka. Bukan kita nak melaksanakannya esok,” katanya.

Sumber:http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/rafidah-aziz-tolak-harga-ubat-naik-sebab-tppa#sthash.pqFFN6zB.dpuf