Hukuman Jatuh, Kes Selesai, Tapi Masih Mahu Dipolitikkan

Pihak tertentu sejak beberapa bulan lalu dikesan cuba mempengaruhi dan memperalatkan bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Sirul Azhar Umar bagi tujuan politik di negara ini.

Perbuatan pihak yang terdiri daripada orang perseorangan serta kumpulan itu didedahkan peguam Sirul Azhar, Datuk Kamarul Hisham Kamaruddin dan Hasnal Rezua Merican selepas dimaklumkan sendiri oleh anak guamnya.

Mereka bagaimanapun buat masa ini tidak bercadang mendedahkan identiti individu serta kumpulan terbabit, tetapi mengesahkan pihak itu telah beberapa kali menghubungi dan cuba menemui Sirul Azhar di Australia.

“Individu dan kumpulan ini mempunyai motif politik. Mereka antara lain cuba menyogok Sirul Azhar dengan menawarkan penyelesaian undang-undang selain mempengaruhi Sirul Azhar untuk menyingkirkan kami sebagai peguamnya.

“Mereka menghubungi Sirul Azhar beberapa kali dari dalam dan luar negara. Cubaan untuk menemui Sirul Azhar juga beberapa kali dibuat tetapi tidak berjaya kerana tidak mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa Australia.

“Kami memandang serius dan barisan peguam di Australia sudah memberi nasihat kepada Sirul Azhar. Kami juga sudah menghubungi Sirul Azhar dan jelas dia sangat tidak selesa,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Sebelum ini beberapa pemimpin pembangkang bertindak menghubungi Sirul Azhar serta menemui ibunya, selain terus mengitar semula isu pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu, bagi memfitnah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sirul Azhar dan Azilah Hadri dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Persekutuan pada 13 Januari 2015 kerana membunuh Altantuya sembilan tahun lalu, tetapi bekas anggota UTK itu bertindak melarikan diri ke Australia.

Kepada soalan mengenai keadaan terkini Sirul Azhar, Kamarul Hisham memberitahu, anak guamnya itu berada dalam keadaan sihat dan mendapat layanan baik daripada pihak Imigresen Australia.

“Sirul Azhar dalam proses mendapatkan Visa Perlindungan Australia dan sebab itu, anak guam saya dinasihatkan agar tidak mengeluarkan sebarang kenya­taan yang boleh menjejaskan pulangnya mendapatkan visa itu,” katanya.