Jangan Tangan Lagi Laju Dari Akal

“Tangan lebih cepat bertindak berbanding akal”. Itulah gambaran yang diberikan kepada netizen yang sering dilihat terlalu teruja untuk menyebarkan sesuatu maklumat dan informasi tanpa memastikan kesahihannya.

Perkara itu dijelaskan oleh pensyarah dari Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), Prod Madya Dr Wan Shahrazad Wan Sulaiman ketika diminta memberikan pandangan berhubung ‘masalah media sosial’ yang kerap terjadi di zaman serba maju ini.

Menurut beliau, gambaran itu jelas apabila maklumat yang tersebar ternyata palsu sehingga mencetuskan masalah kepada sesuatu pihak.

“Tangan kita ini lebih cepat bergerak dari akal kita, jadi kita tak sempat berfikir tetapi terus menaip dan memberi komen contohnya di dalam Facebook mahupun Instagram.

“Saya rasa budaya teknologi sekarang ini dengan perolehan maklumat yang pantas dan cepat menyebabkan orang tidak ambil usaha untuk semak dulu maklumat itu. Itu yang menjadi pengaruh di dalam media sosial dan menyebabkan orang cepat melatah,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post.

Dari segi psikologi, Wan Shahrazad menjelaskan bahawa keadaan ini melibatkan masalah pengaruh sosial dan juga emosi yang mana ianya banyak melibatkan pengaruh persekitaran.

Menurut beliau, ini terjadi apabila maklumat berada di hujung jari dan netizen terlalu ghairah untuk berkongsinya kepada umum melalui media maya yang tiada batasannya.

“Dalam dunia psikologi, kita lihat perkara ini sebagai ’social influent’ atau pengaruh sosial. Sebab dalam menerima maklumat, pihak yang menerima itu bukan berada dalam lingkungan ‘isolation’ walaupun dia menerima maklumat itu secara individu. Tetapi jaringan media sosial yang virtual itu masih ada lingkungan sosial yang lain..yang mana menyebabkan orang lain cepat terpengaruh.

“Sebab tingkah laku terpengaruh dengan emosi dan juga pemikiran, bila orang melatah ini disebabkan pengaruh sosial dan emosi..itu yang menjadikan orang cepat melatah.

“Jadi bila kita nak bertingkah laku ianya mesti dipandu oleh proses pemikiran yang rasional, logik dan betul,” tambahnya lagi.

Sepanjang 2015, terlalu banyak ‘perang’ yang berlaku di media sosial yang menyebabkan rakyat cepat melatah dengan hanya melihat ‘posting’ yang tertera di laman sosial mereka.

Seperti yang baru berlaku ialah kekecohan di Langkawi melibatkan satu taman perumahan yang sebahagian daripada binaan bumbung mempunyai bentuk menyerupai tanda salib.

Susulan daripada itu, pemaju perumahan telah diarahkan oleh Majlis Daerah Langkawi untuk mengubah reka bentuk bahagian bumbung di taman perumahan terbabit. Ini terjadi berpunca dari sekeping gambar yang viral di Facebook.

Tidak kurang itu juga, satu gambar yang menyebabkan seluruh rakyat di Malaysia menjadi panik tidak menentu ialah notis Touch N’ Go yang akan mengenakan cukai barang dan perkhidmatan (GST) bagi setiap tambah nilai bermula awal tahun 2016.

Namun, ternyata gambar tersebut adalah palsu dan pihak Touch N’ Go telah mengeluarkan satu kenyataan rasmi menafikan perkara berkenaan.

Terlalu banyak yang berlaku di media sosial yang tidak dapat dihalang dari terus-terusan tersebar melainkan kita sebagai pengguna internet mula untuk menyemak kesahihan sesuatu sebelum berkongsi dengan rakan di alam maya.

Mengulas berkenaan perkara itu penceramah bebas, Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani, beliau menyifatkan masyarakat di negara ini terlampau sensitif dengan sebarang isu yang timbul di persekitaran mereka.

Katanya, sekiranya sensitif yang menyebabkan masyarakat melatah itu membawa kebaikan, sudah pasti ianya adalah sejajar dengan kehendak agama Islam.

Namun apa yang berlaku hari ini menurut beliau adalah sebaliknya.

“Saya berpandangan masyarakat kita terlampau sensitif dengan isu yang berlaku sama ada sensitf berdasarkan kepada sentimen yang disebut dengan suasana kita, iaitu sentimen perhubungan kaum ataupun sentimen beragama.

“Kalaulah yang melatah itu membawa kepada kebaikan memang kita puji, tetapi kalau perkara yang dilatah itu membawa kepada keburukan, itu kita keji,” katanya kepada The Rakyat Post.

Menurut beliau, melatah adalah satu perkara yang berbeza dengan mengambil berat isu-isu semasa.

Kerana menurut Islam, mengambil berat itu diharuskan bagi setiap mukmin namun sekiranya apa yang disebarkan itu adalah perkara yang tidak disemak kesahihannya, sudah pasti ianya akan membawa keburukan kepada masyarakat.

“Kalau seorang itu melatah untuk mengambil berat, itu memang dianjurkan oleh agama. Dan agama Islam mengajar kita untuk mengambil berat terhadap sesuatu. Tetapi sudah pasti ianya jelas berbeza dalam aspek mengambil berat dan melatah yang tidak membawa faedah.

“Apa juga yang kita buat kena berdasarkan kepada ilmu, kalau buat berdasarkan kepada ilmu, asas yang betul dan Islam tidak larang. Tetapi sekiranya ianya didasari senstimen dan sebagainya, itu adalah dilarang sama sekali,” katanya lagi.

Katanya, orang di Malaysia ini tidak gemar untuk belajar dan menambah ilmu menyebabkan mereka malas untuk menyemak sesuatu maklumat itu sebelum disebarkan.

“Jalannya ialah harus banyakkan belajar, sebab apa yang berlaku sekarang ini ialah kita ambil sesuatu itu tanpa tabayyun (berusaha untuk mengetahui kebenaran sesuatu itu) dan terus menyebarkan,” ujar beliau.