Jawapan 1MDB Kepada Rafizi Dan Tony Pua Tentang BMSD SUKUK

Pihak 1MDB merujuk kepada kenyataan tidak bertanggungjawab yang dibuat oleh YB Rafizi Ramli yang dilihat seolah-oleh bersaing sesama sendiri dengan YB Tony Pua dalam mengelirukan rakyat dengan dakwaan-dakwaan yang tidak berasas mengenai urusan yang berkaitan dengan 1MDB.

Terbaru, YB Rafizi Ramli mendakwa hasil yang diperolehi dari Bandar Malaysia Sdn Bhd Sukuk (“BMSD SUKUK”) tidak digunakan seperti yang sepatutnya. Pihak 1MDB menafikan sekeras-kerasnya tuduhan tersebut dan menegaskan bahawa hasil yang diperolehi oleh BMSD telah diagihkan mengikut syarat-syarat Program Perjanjian Sukuk seperti yang berikut:

– Sebahagiannya digunakan untuk membiayai projek penempatan semula Pangkalan Udara Kuala Lumpur ( PUKL).

– Membiayai perbelanjaan Program Sukuk.

– Membiayai syarat kewangan akaun rizab; dan

– Keperluan modal kerja 1MDB Real Estate Sdn Bhd (sekarang dikenali sebagai TRC City Sdn Bhd).

Keduanya, YB Rafizi Ramli menyuarakan kebimbangan terhadap syarikat luar yang mungkin akan terlibat dalam projek penempatan semula PUKL. Beliau seakan-akan tidak menghiraukan kenyataan yang dikeluarkan oleh 1MDB pada 6 Januari 2016, yang menjelaskan bahawa ianya tidak akan terjadi. Perbadanan Perwira Hartanah Malaysia (PPHM, anak syarikat 100% milik Lembaga Tabung Angkatan Tentera) adalah kontraktor ‘Turn Key’ yang bertindak untuk menghantar keperluan pembinaan bagi Penempatan Semula PUKL. PPHM juga telah melantik lebih 50 kontraktor Bumiputera yang layak sebagai sub-kontraktor.

PPHM yang bertindak sebagai kontraktor ‘Turn Key’ bersama-sama lebih 50 sub-kontraktor Bumiputera yang lain akan meneruskan peranan mereka seperti mana yang telah dipersetujui. Pihak kontraktor ini telah diperakui oleh pihak berkuasa dan proses pembinaannya diselia oleh pegawai dari Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri. Dengan proses pembinaan yang diteruskan dengan menggunakan kontraktor yang diiktiraf, maka, tiada terdapat sebarang kemungkinan buruk mengenai impaknya kepada keselamatan negara melalui penjualan 60% kepentingannya dalam projek Bandar Malaysia oleh 1MDB.

Dengan perjanjian perlaksanaan selama enam bulan bagi tiga tunggak utama pelan rasionalisasi yang diluluskan oleh Kerajaan Malaysia, 1MDB kini fokus untuk melaksanakan syarat-syarat yang telah ditetapkan dan seterusnya merealisasikan objektif perjanjian tersebut. Pihak 1MDB juga akan sentiasa memberi perkembangan secara berkala sepanjang projek ini berlangsung.

Kenyataan Media oleh 1MDB.