Kalau Nak Harapkan Maklumat UMUM, Apa Fungsi PAC Ditubuhkan?

Ahli Parlimen Gerakan Datuk Liang Teck Meng hari ini terus menyelar Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara Tony Pua berdasarkan post Facebook mendedahkan kononnya “penyangak” di belakang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 1 Januari.

Liang berkata, adalah jelas dari posting yang Tony buat bukan semata-mata “bersuara” atau mengkritik 1MDB tetapi telah membuat penghakiman bahawa “penyangak” telah menyebabkan “berbilion-bilion wang rakyat hilang”.

“Saya malu sebagai seorang anggota PAC.

“Macam mana kita boleh membuat penghakiman berdasarkan dokumen-dokumen yang boleh didapati secara umum,” katanya dalam satu sidang media di ibu pejabat Gerakan, pagi ini.

Menurutnya, jika Pua terus berbuat demikian, tiada makna untuk PAC meneruskan siasatannya dan membazirkan masa.

“Kami juga tidak perlu mengendahkan laporan Ketua Audit Negara dan hanya perlu tutup kedai.

“Kami hanya perlu dengar kenyataan-kenyataan berdasarkan dokumen-dokumen yang boleh didapati secara umum,” katanya sambil mempersoalkan dari mana Pua dapatkan dokumen berkenaan.

“Adakah ia daripada Sarawak Report atau dia WhatsApp Claire Brown.

Liang berkata, jika ia telah menjadi satu amalan untuk mencapai keputusan berdasarkan ‘maklumat umum’, PAC juga boleh dibubarkan dan ahli-ahlinya ‘duduk di rumah’ untuk membaca blog anonymous seperti Sarawak Report.

Beliau berkata sebagai ahli PAC, beliau telah melabur banyak masa dalam prosiding ini dan dia tidak mahu rakan-rakan ahli-ahli PAC untuk mencemarkan nama PAC dan Parlimen, kerana selebihnya daripada anggota jawatankuasa berniat mencapai kesimpulan akhir berdasarkan fakta, bukti dan saksi temuduga sebenar – dan bukan pada ‘maklumat umum’.

“Adakah ini begitu sukar untuk YB Tony fahami? Adakah ia sukar untuk YB Tony bekerja dengan yang kita yang lain untuk sama-sama membuat rumusan berasaskan fakta yang betul dan bukannya melemahkan kredibiliti keseluruhan pasukan kita dan proses dengan kenyataan-kenyataan beliau yang tidak produktif dan bermotifkan politik?

“Bagi YB Tony Pua untuk bertindak balas kepada kenyataan saya dengan cara ini mengukuhkan lagi kepercayaan awam yang semakin meningkat bahawa, walaupun pelbagai amaran termasuk dari rakan-rakan DAP YB dalam PAC, YB Tony Pua terus bermain politik kotor dengan tuduhan liar,” kata beliau.

Beliau juga menggesa Tony untuk ‘berhenti memaksa dirinya dari dipecat daripada PAC’ untuk memanipulasi persepsi orang ramai dan memberi PAC dan Parlimen nama buruk kerana ia adalah tidak adil kepada ahli-ahli PAC yang lain dan rakyat.