Kita Serah lah Kepada Allah Untuk Mengadili Seadilnya Pemimpin Dahulu Pada Hari Akhirat Kelak

PAS perlu membuka lembaran baru dengan Umno atas perkara berkaitan ketakwaan dan kebaikan, demikian menurut Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS, Dr Zuhdi Marzuki.

Sambil bertegas bahawa lembaran baru itu bukan penggabungan dua parti berkenaan, ujar Zuhdi, ia adalah jalinan kerjasama untuk kepentingan menegakkan dan mempertahankan Islam, serta untuk kebaikan rakyat dan negara.

Menurutnya lagi, PAS perlu berbuat demikian kerana pimpinan dan ahli Umno masa kini tidak mewarisi dosa dan kesalahan generasi terdahulu.

“Sekiranya generasi pimpinan dan ahli Umno hari ini mahu merapatkan hubungan persaudaraan Islam, maka adakah perlu diungkit segala dosa dan kesalahan lampau yang bukan dilakukan mereka,” katanya dipetik Berita Harian sebagai mengulas kesediaan PAS ‘memaafkan dan melupakan’ kesalahan Umno yang lalu.

Zuhdi dalam pada itu mengakui bahawa hubungan Umno dan PAS satu ketika dahulu meruncing sehingga berlaku beberapa peristiwa yang tidak diingini.

Namun katanya, ada kalangan pemimpin itu telah lama meninggal dunia dan sekiranya masih hidup, mereka bukan lagi pemimpin yang menggerakkan Umno.

“Kita serah lah kepada Allah untuk mengadili seadilnya pemimpin dahulu pada hari akhirat kelak,” katanya.