KPDNKK Perlukan Kerjasama Semua Pihak Termasuk Media Dalam Mengatasi Segala Permasalahan

Memiliki kira-kira 2300 orang anggota penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di seluruh negara, namun ia tidak dapat menjamin pemantauan serta usaha berkesan dalam mengatasi masalah kenaikan harga barang walaupun kini harga minyak mencatat angka penurunan, kata Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Menurut beliau, usaha berkesan dalam mengatasi kenaikan harga barangan oleh peniaga ingkar hanya dapat diatasi melalui kerjasama erat orang ramai dalam menyalurkan aduan atau sebarang maklumat berkaitan salah laku peniaga yang mengenakan harga sewenang-wenangnya.

“Saya mahu semua rakyat di negara ini menjadi rakan KPDNKK..di mana jika mereka menjadi rakan bermakna mereka juga menjadi mata dan telinga kita (KPDNKK)..mereka bukan hanya tampil membuat laporan semata-mata, tetapi juga mencari dan berkongsi idea bersama kita kerana mereka mungkin lebih arif dengan keadaan di lapangan atau sesuatu tempat.

“Satu lagi, pengguna media sosial pula tidak sepatutnya hanya tahu ‘menghentam’ KPDNKK sahaja, tetapi sepatutnya turut sama membantu menyalurkan maklumat melalui kelebihan interaksi maya yang sangat pantas dan mudah disebar kepada umum,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perhimpunan KPDNKK bulan Januari 2016.

Sementara itu beliau turut memaklumkan bahawa pihak KPDNKK telah melakukan 1.8 juta pemeriksaan sepanjang tahun lalu termasuk berkaitan kes kenaikan harga Gas Petroleum Cecair (LPG) yang memberi beban kepada pengguna.

“Sekarang masih kecoh isu LPG seperti tiada tindakan, jangan ‘pukul keliling’ kata itu masalah pihak penguatkuasaan…padahal kita (KPDNKK) dah tangkap mereka yang buat kesalahan berkaitan termasuk di kawasan Putrajaya sendiri.

“Cuma masalahnya, bila kita bertindak atau buat kerja senyap-senyap orang cakap kita tak buat apa-apa…mungkin strategi KPDNKK tak kena, selepas ini saya minta pegawai-pegawai terlibat selepas buat tangkapan, panggil media untuk buat hebahan.” katanya.

Ujarnya lagi, jutaan pemeriksaan yang dilakukan sebelum ini adalah satu angka yang besar tetapi ia masih tidak mencukupi, KPDNKK perlukan kerjasama semua pihak termasuk media dalam mengatasi segala permasalahan dan membantu penguatkuasaan yang lebih berkesan terhadap isu semasa terutamanya berkaitan kos sara hidup serta kenaikan harga barang.