KWSP : Tiada Apa-Apa Perubahan Pada Kadar Caruman Berkanun Syer Majikan

Pekerja dibenarkan membuat pilihan sama ada mahu mengurangkan kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak tiga peratus bermula Mac ini, atau mengekalkan kadar 11 peratus seperti sebelumnya.

KWSP dalam kenyataannya memaklumkan, mana-mana pekerja yang berhasrat mengekalkan peratusan sedia ada perlu melengkapkan Notis Pilihan Mencarum Melebihi Kadar Berkanun sebelum dikemukakan kepada majikan untuk dimaklumkan kepada pihaknya.

Menurut KWSP, pekerja boleh memuat turun Notis KWSP 17A Khas 2016 di laman web www.kwsp.gov.my mulai 2 Februari, manakala jadual baharu Kadar Caruman Bulanan (Jadual Ketiga) boleh dimuat turun mulai 16 Februari.

“KWSP memaklumkan pengurangan kadar berkanun caruman syer pekerja daripada 11 peratus kepada lapan peratus untuk pekerja berumur di bawah 60 tahun, dan daripada 5.5 peratus kepada empat peratus bagi pekerja berumur 60 tahun ke atas.

“Pelaksanaan kadar baharu ini bermula dari gaji Mac 2016 hingga gaji Disember 2017, (namun) tiada apa-apa perubahan pada kadar caruman berkanun syer majikan,” jelas KWSP di sini hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan pengubahsuaian Bajet 2016, mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju mengurangkan potongan caruman KWSP bagi syer pekerja sebanyak tiga peratus.

Pengumuman itu merupakan salah satu daripada 11 langkah penstrukturan dan pengubahsuaian Bajet 2016 dalam usaha kerajaan memastikan ekonomi serta kewangan negara kekal berada pada jajaran yang betul.