Lesen Perjudian Pertama Pada tahun 1987 Diberikan Oleh Menteri Kewangan Daim Zainuddin.

Seperti yang dilaporkan oleh Leslie Lopez, The Wall Street Journal, tahun 2004.
http://www.wsj.com/articles/SB109777782409745553

Satu lesen perjudian yang dikeluarkan secara sulit untuk pasaran judi Malaysia yang menguntungkan, yang dianugerahkan kepada jutawan Vincent Tan Chee Yioun oleh bekas perdana menteri Mahathir Mohamad telah mencetuskan kontroversi di dalam kerajaan.

Pentadbiran Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi sedang memikirkan semula sama ada untuk membenarkan Tan meneruskan konsesi itu – yang membenarkan pertaruhan seluruh negara untuk acara sukan di dalam dan luar negara – kerana ia akan mencetuskan kemarahan dari majoriti rakyat muslim di Malaysia, menurut pegawai kerajaan dan individu yang arif dengan hal berkenaan.

Pegawai kerajaan berkata Ascot Sports Sdn Bhd, satu entiti persendirian milik penuh Vincent Tan, telah dianugerahkan lesen perjudian selama 20 tahun pada Jun 2003 oleh Kementerian Kewangan Malaysia, yang diketuai oleh Dr Mahathir, yang telah bersara pada 31 Oktober lepas.

Tan enggan memberikan sebarang komen. Seorang eksekutif Ascot berkata syarikat itu masih berunding dengan kerajaan untuk melaksanakan perniagaan ini.

Pada September 2003, Ascot telah membayar RM25 juta ($6.6 juta) untuk lesen tersebut, yang membenarkan syarikat tersebut menjalankan perniagaan perjudian seperti Landbrokes Ltd yang berpangkalan di UK, satu operasi pertaruhan antarabangsa yang dimiliki oleh Hilton Group PLC. Eksekutif perjudian Malaysia menganggarkan operasi pertaruhan sukan, yang menawarkan pertaruhan untuk acara seperti perlawanan bolasepak tempatan dan antarabangsa serta lumba kuda, boleh menjana pendapatan $1 billion setahun.

Penganugerahan lesen kepada Ascot itu tidak pernah didedahkan. Pegawai di dalam kerajaan Abdullah berkata mereka hanya mengetahuinya awal tahun ini apabila Tan memberitahu mereka yang beliau ingin memulakan operasi perniagaan barunya.

Selepas memikirkan mengenainya selama beberapa bulan, Abdullah, yang juga menteri kewangan, telah membangkitkan isu lesen judi itu di dalam mesyuarat kabinet. Pegawai kerajaan dan mereka yang arif dengan mesyuarat kabinet berkata, beberapa menteri telah memberikan amaran kepada Abdullah yang lesen judi ini akan mengundang kritikan dari golongan konservatif muslim di negara ini, terutamanya dari parti pembangkang Islam Parti Islam Semalaysia, atau PAS.

PAS kini sedang memerintah negeri pantai timur Kelantan dan bersaing secara terus dengan UMNO yang dipimpin oleh Abdullah untuk meraih sokongan orang Melayu, yang mewakili 60% dari populasi Malaysia.

Parti Islam itu telah lama berjuang untuk menutup perniagaan perjudian berlesen di negara ini. Ini termasuklah kasino yang yang dikendalikan oleh Genting Bhd, satu loteri, dan 6 lagi perniagaan pertaruhan nombor. Satu dari 6 ini adalah dimiliki Tan iaitu Berjaya Sports Toto Bhd.

“Kabinet masih lagi belum memutuskannya,” ujar seorang pegawai Malaysia. “Terdapat kebimbangan kalau kelulusan diberikan” untuk konsei judi terbaru itu.

Jika kerajaan Abdullah memutuskan untuk menarik balik lesen itu dari Ascot, ia menandakan kali kedua pentadbiran beliau membatalkan kontrak atau lesen yang dianugerahkan oleh perdana menteri sebelum ini, Mahathir. Tidak lama selepas menjadi Perdana Menteri pada November lepas, Abdullah menghentikan projek landasan bernilai RM14.5 bilion yang dianugerahkan Mahathir kepada ahli perniagaan Syed Mokhtar Al-Bukhary

Seorang eksekutif Ascot berkata, lesen pertaruhan yang diperolehi syarikat tersebut mempunyai beberapa syarat yang berkait dengan kebimbangan komuniti muslim. Antaranya, Ascot dilarang menerima pertaruhan dari orang Islam. Lesen itu juga mensyaratkan Ascot untuk menggunakan premis perjudian yang dikendalikan oleh firma nombor ramalan untuk menjual produk baru tersebut.

Perjudian adalah perniagaan yang besar di Malaysia. Pendapatan terkumpul dari operasi perjudian berlesen berjumlah RM10 bilion. Pekerja industri menganggarkan perjudian haram, yang dikawal oleh sindiket yang menerima pertaruhan untuk acara sukan dalam dan luar negara, menjana RM15 bilion setahun.

Berjaya Group Bhd milik Tan, mempunyai kepentingan di dalam hartanah, pembuatan, penerbitan dan perjudian, telah lama melobi kepada kerajaan untuk membenarkan pertaruhan baru sebagai langkah untuk mencegah perdagangan haram dan sebagai cara untuk menjana pendapatan tambahan kepada kerajaan melalui cukai. “Sangat gila jika potensi cukai di dalam industri ini tidak diterokai sepenuhnya,” ujar seorang eksekutif kumpulan.

Ini adalah cubaan kedua Tan untuk memperkenalkan pertaruhan sukan di Malaysia. Beliau diberikan lesen pertama pada tahun 1987 oleh menteri kewangan Daim Zainuddin. Tan dan rakan kongsinya pada ketika itu, Mecca Bookmakers, memulakan operasi pada tahun 1988 dengan tiga premis pertaruhan di Kuala Lumpur. Tetapi ianya menghadapi masalah setahun kemudian apabila Kerajaan menghalan Tan membuka premis baru kerana kebimbangan politik dan pilihanraya yang diadakan tidak lama lagi.

Tan akhirnya menutup premis itu dan menyerahkan kembali lesen kepada kerajaan, tetapi beliau memperolehi hak untuk menyambung operasi sekirannya kerajaan ingin mempertimbangkannya kemudian.

Pegawai Kerajaan dan mereka yang rapat dengan Tan berkata pada Jun 2003, beliau mendapat lesen baru apabila beliau berjaya meyakinkan Mahathir dan pegawai kementerian Kewangan yang kerajaan akan kehilangan beratus juta ringgit di dalam bentuk cukai kepada operasi perjudian haram.