Mahfuz Bayar 200,000 Angkara Fitnah Hasan Ali

Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan bekas Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar membayar ganti rugi RM200,000 kepada bekas Presiden Jalur Tiga (JATI), Datuk Dr Hasan Ali, kerana memfitnahnya menerima bantuan kerajaan dalam setiap siri ceramahnya.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Nor Bee Ariffin, membuat perintah itu selepas membenarkan tuntutan saman Hasan selaku plaintif dan mendapati Mahfuz (defendan) bertanggungjawab memfitnahnya.

Mahkamah turut memerintahkan Mahfuz membayar kos sebanyak RM30,000.

Nor Bee dalam penghakimannya berkata, Hasan berjaya membuktikan bahawa Mahfuz mempunyai niat jahat ketika mengeluarkan kenyataan fitnah itu.

Hakim itu berkata, defendan tidak boleh menggunakan perlindungan bersyarat kerana beliau tidak mendapatkan penjelasan daripada plaintif dan KBS sebelum mengeluarkan kenyataan berkenaan.

Katanya, perkataan fitnah oleh defendan jika dibaca secara keseluruhannya boleh menyebabkan plaintif dipandang serong oleh masyarakat.

Melalui writ saman dan pernyataan tuntutan yang difailkan pada 12 April 2012, Hasan berkata, Mahfuz mengeluarkan kenyataan fitnah dalam satu sidang media pada 2 Mac 2012 dan ia diterbitkan di beberapa akhbar serta laman portal.

Sehubungan itu, Hasan menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan dan satu injunksi bagi menghalang Mahfuz daripada mengulangi kata-kata fitnah itu.