Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak Bantu Asnaf & Fakir Miskin Dengan Latihan Kemahiran

Golongan asnaf dan fakir miskin terus dibantu memajukan diri dan terbaru Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (Maipk) menghantar seramai 51 remaja dari golongan itu mengikuti Kursus Kemahiran Pemasangan Perancah (Scaftholding) Oil & Gas di Adtec, Kemaman Terengganu, bermula hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Amiruddin Muhamed berkata, beliau mahu anak-anak golongan asnaf dan fakir miskin menjadi pekerja mahir.

Menurutnya, ketika kursus selama tiga bulan itu golongan remaja berkenaan diberikan pendedahan mengenai kemahiran pemasangan perancah selama sebulan, sebelum mengikuti latihan amali selama dua bulan bersama agensi-agensi ditetapkan.

Katanya, setelah tamat kursus, kesemua peserta akan menerima sijil khas sebelum diserapkan bekerja dengan agensi yang berminat mendapatkan khidmat mereka.

“Sebenarnya ini program ketiga yang kita buat bagi tahun ini. Tujuannya adalah untuk beri kemahiran tahap tinggi kepada anak-anak golongan asnaf ini.

“Kita mahu jadikan mereka ini sebagai ‘skill workers.’ Dan seperti yang kita tahun permintaan terhadap skill workers ini begitu tinggi di pasaran hari ini.

“Sebelum itu, kita dah hantar remaja untuk ikuti kursus kimpalan minyak dan gas tahap enam (G6), dan sekarang mereka bekerja di Technology Park, Kuala Lumpur,” katanya kepada pemberita pada sidang media di sini semalam.

Beliau berkata, Maipk juga menghantar 29 remaja mengikuti kursus kren beroda berantai di Bukit Beruntung dan usaha itu terbukti membuka peluang pekerjaan kepada mereka.

Difahamkan seramai 16 remaja dari sekitar negeri akan mengikuti kursus kemahiran berkenaan bagi kumpulan pertama sebelum 35 remaja lagi akan mula mengikutinya pada pertengahan Januari 2016.

Amiruddin berkata, kursus berkenaan sekali gus memberi gambaran ke mana wang zakat diperuntukkan.

“Di bawah Maipk, kita ada berbelas ribu yang terima bantuan bulanan. Daripada situ, kami akan semak butiran mereka, khususnya mengenai anak-anak.

“Jika kita dapati ada dalam kalangan anak-anak itu baru selesai SPM, kita akan hantar surat, telefon bertanyakan, apakah nak sertai kursus dan sebagainya.

“Sebarang persoalan mengenai kita guna duit zakat, sememangnya tidak ada isu langsung,” katanya.