Mana Pergi Hutang 40 bilion?

1MDB lengkapkan pelan rasionalisasi, bawa pelabur China bangunkan Bandar Malaysia dengan nilai pembangunan kasar RM150 bilion.


Syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Bhd (1MDB) semalam melengkapkan pelan rasionalisasinya selama 6 bulan apabila memeterai perjanjian jual beli saham dengan melupuskan 60% ekuiti dalam Bandar Malaysia Sdn Bhd (BMSB) pada nilai RM7.41 bilion.

Ekuiti tersebut dijual kepada sebuah konsortium tempatan dan antarabangsa yang terdiri daripada Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd (IWH) dan China Railway Engineering Corporation (M) Sdn Bhd (CREC).

Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda Kandasamy berkata, penjualan ekuiti BMSB dilihat sebagai satu situasi menang-menang bagi kesemua pihak terlibat. Pemilikan baharu itu kini merangkumi 54% pemilikan kerajaan Persekutuan dan negeri, masing-masing menerusi 1MDB atau Menteri Kewangan (Diperbadankan) dan Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn Bhd manakala 46% lagi dimiliki sektor swasta.

“Oleh sebab itu, ia tidak boleh dianggap sebagai menjual Bandar Malaysia kepada pihak asing kerana secara keseluruhan 76% ekuiti dimiliki entiti negara,” katanya pada pemeteraian perjanjian itu di Kuala Lumpur semalam.

Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, selepas tempoh 6 bulan 1MDB telah mengatasi cabaran kewangannya apabila berjaya mengurangkan hutang sebanyak RM40.4 bilion termasuk selepas penjualan ekuitinya semalam.