Memecat Orang Merupakan Kepakaran Mahathir

Di dalam tulisan blognya, Tun Dr Mahathir Mohammad berkata:

“Ketika ini, terdapat defisit kepercayaan di dalam kerajaan dan institusi di bawahnya. Terdapat banyak sebab mengapa perkara ini terjadi. Berkata yang segalanya adalah baik tidak akan membawa kerajaan ke mana-mana. Perbuatan adalah lebih dari kata-kata.

Pengunduran secara terancang Tan Sri Abu Kassim hanya akan meyakinkan rakyat yang cakap-cakap mengenai kerajaan adalah benar belaka, yang ianya wujud untuk menghalang pelaksanaan hukum undang-undang terhadap kempimpinan negara.”



Sejak Dr Mahathir bersara pada 31 Oktober 2003, beliau telah bertindak selaku polis moral dan bersyarah mengenai urus tadbir yang baik, pertama, kepada pengganti beliau, Pak Lah dan kemudian kepada Perdana Menteri sekarang, Najib Tun Razak. Walaupun bagus untuk seorang negarawan yang berpengalaman memberitahu kerajaan semasa apa yang patut dan tidak patut dibuat, kita sebenarnya memerlukan seseorang yang mempraktikkan (atau pernah praktikkan) apa yang beliau suruh orang lain lakukan.

Dr Mahathir kali pertama menarik perhatian negara apabila beliau menulis buku The Malay Dilemma dan menuntut pemecatan Tunku Abdul Rahman kerana menurut beliau, orang Cina akan mengambil alih negara ini. Dr Mahathir menyalahkan Tunku kerana hal ini dan beliau menuduh Tunku menyukai orang Cina yang lebih suka menghabiskan masa bermain terup dengan rakan Cinanya berbanding menjaga kebajikan orang Melayu.

Tak lama selepas peristiwa 13 Mei apabila sentimen masih lagi menebal, semangat nasionalisme Melayu (yang turut dilabel oleh sesetengah pihak sebagai perkauman) atau apa sahaja platform yang serupa pasti akan diterima baik oleh orang Melayu di dalam UMNO. Lagipun, luka peristiwa 13 Mei masih lagi belum pulih jadi sesiapa yang melaungkan semangat kebangsaan Melayu pastinya akan mendapat sambutan.

Kira-kira sedekad kemudian, Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri dan orang Cina bersiap sedia kemungkinan menghadapi Perang Saudara. Inilah orangnya yang menyalahkan nasib orang Melayu ke atas bukan Melayu jadi sudah pastilah beliau akan menggunakan peluang ini untuk menghukum orang Cina dan India. Tetapi orang Cina dan India menerima kejutan. Dr Mahathir bukan sahaja tidak merompak kekayaan orang Cina dan India, malah beliau menjadikan mereka lebih kaya, dan menjadikan jutawan sebagai bilionair.

Dan apabila Tengku Razaleigh Hamzah mencabar Dr Mahathir untuk kerusi Presiden UMNO 6 tahun kemudian, terdapat sedikit keraguan yang kita bakal menyaksikan Perdana Menteri baru berkuasa. Tetapi, sekali lagi Dr Mahathir (atau orang-orang beliau) bermain dengan perkauman dengan menyebarkan cerita Ku Li telah berpakat dengan taikun Cina (mereka berkata Ku Li adalah orang suruhan Ku Kay – iaitu Khoo Kay Peng) dan jika Ku Li menjadi perdana menteri, orang Cina akan mengambil alih negara ini. Akhirnya, Ku Li tewas pemilihan parti.

Dan kemudian, Dr Mahathir kemudiannya menjadikan lebih ramai Cina dan India kaya raya.

Dan yang peliknya, orang Melayu UMNO tidak kelihatan terganggu dengan perkara ini. Orang Cina dan India, nampaknya terganggu – walaupun kaum mereka yang telah dikayakan oleh Tun Mahathir. Sudah tentu, bukanlah orang Melayu tidak turut sama kaya kerana dalam kebanyakan kes, di belakang semua orang Melayu yang kaya dan berjaya, terdapat orang bukan Melayu. Ringkasnya, Dr Mahathir menjadikan budaya Ali Baba sebagai satu seni. Sebenarnya bukan Ali Baba sahaja, ianya Ali Baba Muthu kerana kerana orang India juga tidak terlepas dari perkara ini.

Salah seorang pengikut Dr Mahathir yang setia telah memberitahu saya pada tahun 1980an, yang anda jangan dengar apa yang Dr Mahathir cakap, tetapi sebaliknya perhatikan apa yang beliau buat. Ini mengingatkan saya kepada guru saya di Victoria Instution pada tahun 1965 apabila beliau menangkap saya merokok. Beliau menyeru saya ke kantin dan bersyarah mengenai keburukan merokok. Beliau sedang merokok ketika itu dan apabila saya memandang rokok beliau di tangannya, beliau berkata, “Awak mesti dengar apa yang saya cakap, bukan buat apa yang saya buat.”

Ini merupakan cikgu yang sama yang mengajar kami berenang. Apabila saya beritahu yang saya tak pandai berenang, beliau mencampak saya ke kawasan kolam yang dalam dan berkata, “Berenang sekarang atau awak lemas!” Saya mengambil masa 3 minit dan beberapa gelen air tetapi saya terus belajar berenang kerana saya tak nak mati.

Apapun, apa yang diajar Dr Mahathir kepada saya adalah beliau mungkin berkata tentang sesuatu tetapi belum tentu beliau maksudkan kata-kata beliau itu. Beliau hanya berkata tentang apa yang sesuai mengikut keadaan semasa dan akan berbuat yang sebaliknya apabila keadaan memerlukan. Ini dipanggil politik Machiavelli dan inilah politik sebenar. Dan sebab itulah beliau bertahan selama 22 tahun walaupun dicabar banyak kali dan sementara perdana menteri lain tidak.

Dr Mahathir berbicara mengenai defisit kepercayaan di dalam tulisan blognya semalam. Sebenarnya ianya bermula pada tahun 1998 apabila beliau mula bertindak ke atas Anwar. Pada PRU 1999, Barisan Nasional pasti kalah jika beliau tidak memainkan sentimen perkauman. Dan sebab itulah hanya orang Melayu yang mengundi pembangkang, bukan orang Cina dan India – kerana mereka risaukan ’13 Mei Versi 2.0’ jika Barisan Nasional kalah, atau hilang majoriti 2/3.

Defisit kepercayaan ini semakin teruk apabila pada tahun 2008 Dr Mahathir menyerang Pak Lah tanpa henti. Dan sekarang beliau menyerang Najib. Jadi sudah semestinya ini akan mengurangkan lagi kepercayaan terhadap kerajaan. Tetapi tindakan Dr Mahathir itu seolah-olah semuanya adalah salah Najib. Beliau enggan menerima beliau lah punca defisit kepercayaan ini – pada 1999. 2008 dan sekarang.

Dr Mahathir akan merungut mengenai pengunduran sesetengah individu dari kerajaan. Beliau berkata, jika Najib memecat mereka ini, ia akan meyakinkan rakyat bahawa kesemua tuduhan terhadap Najib dan kerajaan adalah benar. Jadi apa maksud beliau adalah Najib tidak patut memecat sesiapa, malah jika mereka cuba mensabotaj kerajaan beliau sekalipun, ia akan ‘membuktikan’ kesemua tuduhan itu adalah tidak benar.

Ini, sekali lagi, sangat bertentangan dengan Dr Mahathir dan apa yang dilakukannya ketika berkuasa. Pada tahun 1988, beliau memecat kesemua pengkritiknya, menutup parti dan membuka parti baru dan tidak membenarkan pengkritik beliau menyertai parti baru itu.

Beliau memecat hakim, termasuklah Ketua Hakim Negara yang mengeluarkan keputusan yang tidak memihak beliau. Beliau memecat Anwar yang merancang menjatuhkan beliau (seperti yang dilakukan Muhyiddin sekarang). Dan apabila Anwar mula mendedahkan salah laku beliau, Anwar ditahan di bawah ISA.

Memecat orang merupakan kepakaran Mahathir. Dan apabila saya mula ke Australia, US dan berhubung dengan parlimen British dan Eropah, untuk berkempen untuk Anwar (seperti yang dibuat oleh Khairuddin Abu Hassan dan Matthias Chang), Dr Mahathir ‘menghilangkan’ saya dengan menahan saya di bawah ISA.

Oleh Raja Petra Kamarudin,
http://www.malaysia-today.net/dr-mahathir-wants-najib-to-do-what-he-says-not-do-what-he-does/