Mengapa Masih Tidak Saman PAS Atas Kenyataan Mereka Tuduh DAP Ditawar Dana Israel

Pemimpin DAP Lim Kit Siang sepatutnya menyaman bekas penasihat khas ketua menteri Pulau Pinang, Mohamed Razali Abd Rahman berhubung dakwaan DAP ditawarkan RM1.2 juta bilion dengan syarat pangkalan tentera Israel dibina di negara ini jika memenangi pilihan raya umum ke-13 (PRU13) yang lalu.

Presiden Pakatan NGO Pro Barisan Nasional (Pakatan NGO Pro-BN) Zulkarnain Mahdar berkata DAP tidak sepatutnya menyaman Pengarah Penyelidikan PAS Dr Mohd Zuhdi Marzuki kerana dakwaannya itu merujuk kepada kenyataan Mohamed Razali terhadap DAP empat tahun lalu.

“Sepatutnya Lim Kit Siang dan DAP menyaman Mohamed Razali serta membuat laporan polis kerana memfitnah dan bukannya meminta bukti daripada Pro-BN termasuk Dr Zuhdi.

“Pro-BN membuat laporan polis sebelum ini terhadap DAP selepas terbaca pendedahan dibuat Dr Mohd Zuhdi mengenai tawaran RM1.2 bilion dan pembinaan kem tentera Israel sekiranya DAP menawan Putrajaya pada PRU13 yang lalu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Zulkarnain, beliau yakin Mohamed Razali tentunya mempunyai asas untuk menyokong tuduhannya terhadap DAP berhubung tawaran RM1.2 bilion berkenaan serta pembinaan kem tentera Israel itu.

Semalam, sebuah portal berita melaporkan Lim yang juga Anggota Parlimen Gelang Patah berkata beliau akan mengemukakan saman terhadap “seorang pemimpin kanan politik” yang mendakwa kononnya DAP ditawarkan RM1.2 bilion dan sebagai imbalannya membina sebuah pangkalan tentera Israel di negara ini sekiranya memenangi PRU13.

Walaupun Lim tidak menyebut nama pemimpin kanan politik berkenaan, namun portal berita berkenaan menyebut bahawa pemimpin politik kanan yang dimaksudkan ialah Dr Mohd Zuhdi.