PAS Hormat Hak DAP Untuk Saman Siapa Saja

Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan Pas, Dr Mohd Zuhdi Marzuki menyatakan DAP berhak menyaman sesiapa sahaja yang mereka mahu.

Namun begitu, beliau enggan mengulas lanjut mengenai kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit Siang bahawa DAP akan menyaman seorang ahli politik yang mendakwa parti itu ditawarkan RM1.2 bilion sebagai pertukaran dengan sebuah pangkalan tentera laut Israel di Port Dickson.

“Saya tiada komen tambahan. DAP ada hak untuk saman sesiapa sahaja,” katanya ringkas ketika dihubungi, semalam.

Kelmarin, Kit Siang menyatakan bahawa ahli politik itu daripada sebuah parti lain telah membuat tuduhan melulu mengenai hubungan DAP dengan Israel.

Katanya, individu tersebut perlu membayar harga tinggi kerana dakwaan itu tidak berasas dan melulu.

Sebelum itu dalam laporan media, Mohd Zuhdi meminta supaya DAP menjawab dakwaan bekas Pegawai Khas Ketua Menteri Pulau Pinang, Mohamed Razali Abd Rahman mengenai hubungan parti itu dengan Israel.

Kata Mohd Zuhdi, tiga dakwaan tersebut adalah DAP mendapat latihan strategik politik, pemimpin DAP dikatakan menemui wakil kedutaan Israel di Singapura dan DAP ditawarkan dana politik oleh Israel.