Penilaian Semula Kelayakan Penerima Biasiswa, Bukan Pemotongan

BIASISWA: PENYELEWENGAN WANG NEGARA?

Satu hal yang mengejutkan rakyat Malaysia apabila tersebar desas-desus bahawa kerajaan akan memansuhkan biasiswa pelajar akibat dari kegawatan ekonomi.

Saya telah menghubungi beberapa pegawai Kementerian Pelajaran Tinggi dan pegawai JPA. Berikut adalah dapatan ringkas saya – mohon diperbetulkan jika ada kesalahan dalam nukilan saya:

1) Sebenarnya yang dibincangkan oleh kerajaan bukanlah pemotongan bajet biasiswa pelajar sebaliknya adalah penilaian semula kelayakan penerima biasiswa dari beberapa perspektif supaya dapat dioptimiskan penyalurannya kepada kumpulan sasar yang lebih tepat.

2) Salah satu sudut yang diteliti adalah tentang pelajar-pelajar yang menerima biasiswa namun tidak menamatkan pengajiannya samada kerana gagal atau malas atau selainnya. Setakat ini – saya difahamkan – tiada mekanisme yang jelas untuk menyelia situasi trsebut. Jadi, sudah tentu pembiayaan yang dikeluarkan sia-sia sahaja.

3) Perlu diingatkan juga kepada mahasiswa bahawa biasiswa yang kalian terima adalah “wang negara”. Jika kita mendesak pihak lain seperti kerajaan supaya menguruskan “wang negara” dengan baik, maka kita juga perlu bermuhasabah; adakah kita menguruskan “wang negara” yang diamanahkan kepada kita atas nama biasiswa dengan baik?

4) KPT, JPA & beberapa institusi lain sedang berbincang tentang langkah penyelesaian bagi isu tersebut. Maka mohon bersabar. Berilah peluang kepada mereka untuk menghasilkan keputusan yang seimbang bagi menjaga kepentingan ekonomi & ilmu.

5) Adapun pandangan saya, yang perlu diberikan prioriti adalah pembangunan insan bukannya pembangunan fizikal. Namun biarlah, pihak yang berautoriti berbincang dan membuat keputusan. Moga Allah berikan petunjuk kepada kita semua.

Firman Allah SWT, maksudnya:

“Dan apabila datang kepada mereka suatu berita tentang keamanan atau pun ketakutan, mereka segera menyebarkannya. Dan (alangkah baiknya) jika mereka menyerahkan (urusan tersebut) kepada Rasul dan Ulil Amri (pemerintah) dari kalangan mereka, tentulah orang yang ingin mengetahui kebenaran (akan dapat) mengetahuinya dari mereka (Rasul dan Ulil Amri)..” (QS Al-Nisa:83)

Dr Fathul Bari bin Mat Jahya,
EXCO Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.
https://www.facebook.com/drfathulbari/posts/1073603306017830