Rakyat Dan Pengundi Sendiri Akan Menilai Kemampuan Pentadbiran Mukhriz

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir menyerahkan kepada rakyat untuk menilai sendiri prestasi beliau sejak dilantik menerajui pentadbiran negeri berkenaan.

Katanya dalam satu kenyataan, kedudukan beliau sekarang adalah atas mandat dan kepercayaan yang diberikan oleh rakyat.

Selain itu Muhkriz berkata, kedudukan beliau sebagai menteri besar ini juga adalah atas perkenan Sultan Kedah setelah dicadangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Saya mendengar kenyataan yang dikeluarkan oleh sebahagian daripada kepimpinan Umno Negeri yang diketuai oleh Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah di Alor Setar petang tadi.

“Kedudukan saya sebagai Menteri Besar adalah atas mandat dan kepercayaan yang diberikan oleh rakyat dan juga atas perkenan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah setelah dicadangkan oleh YAB Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Katanya, beliau memegang amanah untuk berkhidmat dengan sebaiknya demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat.

“Rakyat dan pengundi jua yang akan menilai kemampuan pentadbiran saya,” katanya.