Sistem Pengangkutan Awam Yang Lebih Efisien Untuk Mengurangkan Kenderaan Atas Jalan Raya

Tahun depan akan menyaksikan Mass Rapid Transit Laluan Sungai Buloh-Kajang – dan 2 sambungan LRT – akan memulakan operasi, dan perkhidmatan rel baru ini diyakini dapat membuatkan lebih ramai rakyat Malaysia bergerak menggunakan pengangkutan awam untuk beberapa tahun akan datang, lapor The Star.

Fasa pertama laluan MRT SBK sepanjang 51KM dijangka akan mula beroperasi Disember ini, dengan stesen akan dibuka dari Sungai Buloh ke Semantan, berhampiran dengan Pusat Bandar Damansara dan dijangkakan seramai 400,000 orang akan menggunakan perkhidmatan MRT 1 ini apabila fasa 2 – dari Semantan ke Kajang, akan mula beroperasi pada pertengahan tahun 2017.

Sebelum itu, sambungan LRT Ampang sepanjang 18.1KM dijangka akan beroperasi bermula Mac, dan sambungan LRT Kelana Jaya sepanjang 17.4 KM akan beroperasi menjelang pertengahan tahun. Menurut The Star, seorang sumber RapidKL berkata, kedua-dua sambungan itu – yang akan bertemu dan berakhir di stesen Putra Heights – akan menyaksikan pertambahan penumpang seramai 310,000.

Buat masa ini, jumlah penumpang laluan Kelana Jaya adalah 225,000 orang dan 173,000 untuk Laluan Ampang, setiap harim menurut angka suku ketiga Kementerian Pengangkutan.

Perkhidmatan bas juga dijangka akan bertambah baik, seiring dengan usaha kerajaan untuk meningkatkan kualiti pengangkutan awam. Di luar Lembah Klang, perkhidmatan tetap MyBus telah dirancang untuk Kuala Terengganu, Ipoh dan Kuching, menurut laporan.

Satu laluan baru untuk Bas Rapid Transit (BRT) yang menghubungkan KL ke Klang juga telah dirancang – pembinaan akan dimulakan pada tahun 2016 dan ianya dijangka siap pada tahun 2018. Pelan itu akan menyaksikan laluan itu – sepanjang 34KM dan 25 stesen di sepanjang laluan – akan selari dengan Lebuhraya Persekutuan dan akan beroperasi di tengah-tengah menggunakan laluan khas.

Fasa seterusnya pembangunan infrastruktur pengangkutan awam akan merangkumi projek MRT 2, sepanjang 52KM dari Sungai Buloh ke Serdang. Kerajaan berkata MRT2 akan memberikan manfaat kepada 2 juta orang dan akan menelan kos sebanyak RM28 bilion. Pembinaan akan bermula pada suku-2 2016 dan dijangka siap pada tahun 2022.

LRT laluan 3 dari Bandar Utama ke Johan Setia, Klang telah pun dirancang. Laluan sepanjang 36KM akan memberikan manfaat kepada 2 juta penduduk Lembah Klang. Nilai keseluruhan pembinaannya adalah RM10 bilion. Pembinaan akan dimulakan pada tahun 2016 dan dijangka siap pada tahun 2020.

Orang awam yang ditemubual oleh The Star menyuarakan harapan tinggi terhadap perkhidmatan baru ini. Apa pendapat anda? Adakah MRT dan sambungan LRT ini akan mengurangkan bilangan kenderaan di jalan raya di Lembah Klang?