Sokongan DAP Terhadap TPPA Hanya Kerana Orang Cina Kuasai Perdagangan Malaysia – PAS

 

DAP kelihatan bersetuju dengan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) kerana orang Cina menguasai perdagangan di negara ini, kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Hadi mendakwa DAP bersetuju dengan tender terbuka kerana ‘orang Cina menguasai perdagangan di Malaysia’.

Katanya dalam video mesej pra-perhimpunan yang disiarkan melalui laman Facebook PAS, kontraktor Malaysia akan perlu bersaing dengan kontraktor dari negara anggota TPPA yang mempunyai peralatan yang lebih canggih, lebih pengalaman dan lebih kebolehan.

DAP sebelum ini dilihat banyak pihak sebagai tidak bersungguh-sungguh dalam membantah Malaysia memeterai perjanjian TPPA, yang turut disertai banyak negara lain.

Tindakan pasif DAP itu turut ditegur pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Parti Sosialis Malaysia (PSM).

PSM dan juga PAS sejak dari awal konsisten membantah TPPA dan mereka juga antara pihak yang terawal mengesahkan penyertaan mereka dalam himpunan bantah perjanjian itu, yang diadakan petang ini di ibunegara.

Sementara itu Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua menafikan dakwaan Hadi dan bertegas DAP tidak pernah menyatakan sokongan terhadap TPPA.

Tony sebaliknya mengecam Hadi kerana didakwa menjadikan TPPA sebagai isu perkauman.

Sumber: http://antarapos.com/bm/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7WmcZpgaA=%3D