Tiada Kegawatan Dalam Tabung Haji, Yang Ada Hanya Orang Buta Ekonomi

Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini memberi jaminan kepada para pendepositnya bahawa simpanan mereka di TH adalah selamat.

 


TH telah menjadi sasaran pelbagai spekulasi di dalam laman-laman sosial dan blog sejak beberapa hari ini mengenai tarikh pembayaran Bonus Pendeposit TH 2015 dan salah tafsir surat Bank Negara Malaysia (BNM) .

Seperti yang telah dinyatakan oleh TH, tarikh pengumuman dan pembayaran Bonus TH adalah kebiasaannya pada suku pertama setiap tahun (Jan – Mac). TH ingin memberi jaminan bahawa tidak terdapat sebarang kelewatan dalam mengumumkan bonus kepada para pendeposit. Sebelum pengumuman dibuat, TH perlu mengambil kira keadaan ekonomi semasa, memastikan semua proses auditan awalan dilalui dan kelulusan dalaman diperolehi sebagai sebahagian daripada proses urus tadbir yang baik.

Walaupun tahun 2015 adalah mencabar TH percaya hasil Strategi Alokasi Asetnya dapat membantu pulangan pendapatan yang baik bagi tahun 2015. TH juga perlu membuat persediaan yang rapi untuk menghadapi cabaran ekonomi 2016 dan masa hadapan agar ia lebih berdaya saing untuk menghadapi situasi tersebut.

Prestasi Kewangan TH berada dalam keadaan baik disokong oleh aset-asetnya yang kukuh termasuk peratusan mudah tunai yang tinggi. Di samping itu, pendeposit tidak perlu risau kerana simpanan mereka di TH dijamin oleh Kerajaan, sebagaimana yang termaktub dalam Akta Tabung Haji. TH juga tidak pernah lari dari tujuan asal penubuhannya dalam membantu umat Islam di Malaysia menunaikan Rukun Islam ke 5.

Merujuk kepada surat Bank Negara Malaysia (BNM) bertarikh 23 Disember 2015, BNM menyatakan kebimbangan akan nilai aset TH lebih rendah dari liabiliti, lebih-lebih lagi dalam situasi ekonomi yang mencabar dan kelembapan pasaran saham. Untuk mengukuhkan kedudukan TH, BNM memberi cadangan agar TH menaikkan tahap rizab yang sedia ada.

Sebagai sebuah institusi kewangan Islam berkaitan kerajaan, TH sentiasa bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan langkah dan keperluan risiko dipatuhi. TH mengambil maklum saranan BNM untuk meningkatkan tahap rizabnya sebagai langkah penambahbaikan dan pengukuhan yang berterusan.

Untuk makluman pendeposit, nilai Aset TH secara amnya dibahagikan kepada dua kategori iaitu:

1. Aset yang dinyatakan pada nilai pasaran mengikut FRS 139 (Rizab Nilai Saksama) dan FRS 140.
– Ini adalah aset kewangan yang boleh dijual seperti ekuiti tersenarai, sukuk dan pelaburan hartanah
– Rizab Nilai Saksama terdedah kepada kepada turun naik nilai pasaran semasa dan rizab tersebut dikategorikan sebagai rizab tidak boleh agih di dalam laporan kewangan.

2. Aset yang dinyatakan pada nilai kos.
– Ini adalah aset kewangan yang dipegang sehingga matang atau saham anak-anak syarikat atau syarikat bersekutu, serta hartanah yang diduduki
– Aset ini dinyatakan pada nilai kos tetapi penilaian secara berkala sentiasa dilaksanakan bagi tujuan pemantauan, contohnya bagi aset tanah perladangan dan hartanah yang diduduki TH penilaiannya dilaksanakan oleh penilai luaran, manakala bagi saham tercatat nilainya berdasarkan harga terakhir diniagakan di pasaran untuk menentukan nilai saksama.

Untuk tahun kewangan 2015, nilai pasaran aset TH bagi kedua-dua kategori di atas adalah lebih tinggi daripada nilai liabiliti, di mana ia tidak hanya mengambil kira Rizab Nilai Saksama seperti dinyatakan oleh Bank Negara Malaysia. Kemungkinan kenyataan tentang rizab TH oleh BNM itu telah disalah tafsir sebagai nilai aset keseluruhan TH.

Ingin saya sarankan agar para pendeposit lebih berhati-hati dalam menilai sesuatu berita yang disebarkan melalui media sosial.

Tabung Haji juga tidak pernah lupa objektif penubuhannya dalam membantu rakyat Malaysia untuk menunaikan haji. Prestasi cemerlang TH serta pemberian subsidi haji dan bonus kepada pendeposit saban tahun membuktikan kedudukan Kewangan TH adalah kukuh.

Tan Sri Ismee Ismail,
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif,
Lembaga Tabung Haji.