TPPA Bukan Ancaman Untuk Negara, Ia Adalah Cabaran Untuk Negara

Baca dan telitilah maklumat asli yang ada di
http://fta.miti.gov.my/index.php/pages/view/tppa

Selepas itu buatlah penilaian.

Meneliti dokumen ini, ada dua kenyataan yang perlu saya buat.

Pertama, saya mengucapkan tahniah kepada pasukan TPPA negara yang telah merundingi hal ini dengan baik. Saya yakin ini bukan tugas yang mudah memandangkan selepas tulisan pertama saya pada tahun 2013, telah banyak perkara yang diperbaiki dalam TPPA ini.

Ini termasuklah addendum khusus tentang Bumiputera, tanah Melayu, Petronas dan lainnya.

Kedua, setelah meneliti dokumen TPPA, saya menyokongnya.

Saya menyokongnya kerana kita tidak boleh mengelak dari hidup dalam dunia globalisasi dan bertindak selari dengan perkembangan semasa. Jika kita tidak menandatangani TPPA, maka kita keluar dari menjadi negara dagang. Mahukah kita?

Selain itu, saya dapati beberapa kelebihan baru TPPA ini.

i. Kita mempunyai empat kawan baru FTA iaitu Amerika, Peru, Mexico dan Kanada.
ii. Kita adalah antara negara pengasas TPPA membolehkan kita mendapat layanan dan pengecualian dalam sektor-sektor sensitif.
iii. Kita akan menjadi negara yang membina daya saing, membina tadbir urus yang baik to comply dengan standards antarabangsa, dan mempunayi barang-barang yang lebih berkualiti.
iv. Kita akan mempunyai barang yang berkualiti dengan import duti yang dimansuhkan dan harga barang yang kompetitif.

Saya menolak hujah jika kita menandatangani TPPA, kita menggadaikan kedaulatan negara. Untuk menjawab hujah ini, saya petik apa yang Tok Pa kata kepada saya. Selain Malaysia ada 11 lagi negara yang menandatangani TPPA. Apakah semua negara tersebut sanggup menjual kedaulatan mereka? Dalam hal ini, saya bersetuju dengan Tok Pa.

Biarpun berkata begitu, saya juga mempunyai kerisauan tentang TPPA.

i. Bimbang tentang keupayaan pelaksanaannya.
ii. Mampukah kita untuk bersaing?
iii. Mampukah kita untuk meningkatkan kualiti barangan dan menjaga alam sekitar supaya dapat mengikuti syarat TPPA ini?
iv. Terdapat 26 akta yang perlu dipinda to comply dengan TPPA.

Inilah yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan. Kerajaan perlu jujur memberi maklumat tentang kekurangan TPPA ini. Maklumat tentang kekurangan ini, jika ada, jangan disembunyikan.

Dalam hal ini, saya suka memetik nasihat George Santayana dalam The Life of Reason (1905) supaya kita belajar dari sejarah. Katanya: “Those who cannot remember the past are condemned to repeat it.”

Apa maksudnya? Belajarlah dari pengalaman penerangan GST. Dalam kes GST dahulu, kerajaan menyatakan GST menurunkan harga barang, tetapi realitiya apabila dilaksanakan tidak ada satu harga barangpun yang turun.

Jangan ulangi kesilapan ini. Bagitahu betul-betul untung ruginya TPPA ini kepada rakyat dan negara.

Jika rakyat tanya, apakah TPPA boleh menurunkan harga kereta dan menjamin kos ubatan tidak naik, maka jawablah dengan memberikan senario yang benar dan betul. Jangan over commit menyatakan tidak naik jika hakikatnya harga ubat dan kereta ditentukan oleh kausa pasaran.

In Sha Allah, memulakan sesuatu dengan langkah yang betul akan membuah hasil yang baik.

Di akhir analisisnya, saya dapati TPPA bukanlah ancaman untuk negara, tetapi cabaran untuk negara. Dengan hujah ini, saya menyokong TPPA. Salahkan saya?

I stand to be corrected. Salam.
Muhammad Agus Yusoff

https://www.facebook.com/mohammadagus.yusoff/posts/10208645694322817?pnref=story